Perak Hari Ini

Kerajaan Tetap Kotakan Janji -DS Zambry

BAGAN DATUK: Kerajaan akan tetap mengotakan segala perancangan pembangunan yang telah dijanjikan termasuklah di daerah baharu yang ke-12 iaitu Bagan Datuk.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia dapat ditunjukkan melalui pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan di daerah itu.

Tegasnya, ini sekaligus dapat menjawab dakwaan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak, Asmuni Awi yang menyatakan bahawa kerajaan jangan menabur janji manis berhubung pembangunan berkenaan.

“Saya lihat apabila komen (Asmuni) macam itu dia hangat (panas hati) sebab kalau boleh jangan buat (pembangunan) untuk membolehkan dia balun kita.

“Tapi bila dia dah tengok kita buat sesuatu, dia mula cakap jangan hanya menabur janji.

“Saya tak layan benda ini yang penting kita laksanakan dan buat kerja terhadap apa yang telah dijanjikan serta apa yang telah dirancangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pelan Tindakan Strategik Memperkasakan Gerakan Koperasi Negeri Perak 2017-2020 di Dewan Hajjah Tuminah di sini, hari ini.

Tegasnya, kerajaan tetap akan melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada pihaknya.

“Jangan bimbang walau kita tak bubuh (letak) nama parti kita ‘amanah’ tapi kita pegang amanah untuk kita melaksanakan (segala perancangan yang dibuat)… Kita akan buat kita akan laksanakan.

“Mereka (pembangkang) ini begitulah… akan mengkritik atau mengatakan benda yang kita tak janji pun dia kate kita janji,”katanya lagi.

Terdahulu, AMANAH Negeri Perak menasihati semua pihak supaya tidak sekadar menabur ‘janji-janji manis’ berkaitan pembangunan Daerah Bagan Datuk hanya kerana Ahli Parlimennya merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang pertama dari negeri ini dan kawasan tersebut.

Pengerusinya, Asmuni Awi berkata Kebimbangan timbul berikutan banyak projek yg telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) masih banyak yang belum dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, beliau telah melakukan tinjauan terhadap beberapa projek yang telah dan sedang dilaksanakan di daerah Bagan Datuk.

“Saya turut melihat termasuklah sama ada kita perlu memperbaiki lagi segala kemudahan yang disediakan selain daripada meninjau pelan yang sedang dilaksanakan.

“Kita juga membincangkan apakah cadangan tambahan dalam usaha untuk menjadikan kawasan Bagan Datuk sebagai tarikan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata, beberapa idea tambahan juga turut dicadangkan dengan ambil kira keadaan dan kesesuaian selain menggunakan kelebihan yang terdapat di daerah itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");