Sukan Hari Ini

Khairul tak sabar pamer aksi

Seremban: Selepas kira-kira dua bulan menerima bimbingan ketua jurulatih yang baharu Mohd Asri Ninggal, pemain sayap kiri Negeri Sembilan Khairul Anwar Shahrudin (gambar kiri) sudah sedia untuk disenaraikan dalam barisan kesebelasan utama pasukan itu pada saingan pembukaan tirai Liga Perdana, 20 Januari ini.

Tonggak berpengalaman berusia 26 tahun itu akui prestasinya kini semakin meningkat dan yakin akan dapat memberikan persembahan terbaik seperti mana yang diharapkan.

Menurutnya, biarpun mereka hanya diuji dalam tiga aksi persahabatan iaitu menentang FELDA United dan UiTM FC di gelanggang sendiri serta PKNS FC di tempat lawan dengan keputusan memberangsangkan, namun perlawanan berkenaan banyak membantunya terutama dalam membentuk gandingan mantap dengan pemain lain.

“Hasil daripada persiapan rapi yang dibuat, kini saya semakin yakin dengan prestasi kerana banyak peningkatan yang dialami sekali gus membuatkan saya sudah bersedia dari mental serta fizikal untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan.

“Walaupun, kami belum diuji dengan perlawanan sebenar tetapi dalam tiga aksi persahabatan sebelum ini, banyak membantu saya meningkatkan persembahan, malah saya dapat membentuk gandingan mantap dengan rakan lain seperti mana taktikal yang ingin diserapkan ketua jurulatih.

“Saya dapat rasakan kemajuannya dan berharap kami dapat memulakan langkah kanan dengan kejayaan menewaskan Sabah, 20 Januari ini kerana ia berlangsung di gelanggang sendiri,” katanya semalam.

Khairul Anwar hampir pasti menjadi sandaran Mohd Asri pada pentas saingan sama ada Liga Perdana, Piala FA mahupun Piala Malaysia, kerana dia adalah antara tonggak penting skuad Hoben Jang Hoben, sepanjang musim lalu.

Bagi pemain berasal dari Kuala Pilah itu, fokusnya kini adalah untuk memanfaatkan sebaik mungkin tempoh kira-kira dua minggu sebelum bertemu Sabah, untuk mengatasi setiap kelemahan yang ada.

“Saya amat berharap musim 2017, kami dapat melakar sejarah lebih baik buat Negeri Sembilan dengan kejayaan layak ke Liga Super dan kami akan terus berusaha keras menghadapi setiap cabaran terutama dalam liga serta berharap musim baharu ini menjanjikan kejayaan buat kami,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");