Perak Hari Ini

Kisah ‘Keluarga’ Saravanan, Kim Leng

SITIAWAN: Biarpun berlainan bangsa dan warna kulit, perbezaan itu tidak membataskan nilai kemanusiaan dan kasih sayang antara dua insan ini.

Persahabatan R Saravanan sekeluarga bertambah erat apabila beliau membantu Siew Eng, 81 dan anaknya Ng Kim Leng, 55 yang cacat penglihatan dengan membenarkan mereka tinggal di sebuah rumah milik mereka setelah rumah yang dihuni dua beranak itu hangus terbakar dua tahun lalu.

Kisah ini turut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang menyifatkan keakraban dua keluarga ini sebagai satu semangat yang luar biasa.

“Mereka ini daripada satu keluarga daif iaitu maknya berusia 81 tahun manakala anaknya cacat penglihatan berusia 55 tahun.

“Mereka telah diberi tinggal di rumah oleh keluarga India kepada keluarga Cina ini dan ia merupakan semangat luar biasa yang perlu diterapkan dalam masyarakat,” katanya sejurus selepas melawat keluarga itu di Kampung Kayan di sini hari ini.

Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dan memberikan sumbangan sempena Tahun Baru Cina kepada dua beranak itu.

Tambahnya lagi, biarpun berlainan kaum dan tinggal di kawasan rata-ratanya penduduk masyarakat India namun sikap saling bantu membantu itu masih kuat.

“Rumah mereka telah terbakar dua tahun lalu  tiada tempat tinggal jadi keluarga India ini telah memberi mereka tinggal di sini tanpa bayaran.

“Mereka menerima bantuan kebajikan masyarakat dan kerajaan negeri melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) akan membina sebuah rumah baru untuk diduduki oleh mereka kelak,” kata Zambry.

Jelasnya, YBUDR akan menyegerakan pembinaan rumah yang lebih selesa dilengkapi dengan dua buah bilik.

Ujarnya, keluarga Saravanan telah bersetuju untuk memberikan satu tapak untuk pembinaan sebuah rumah tersebut.

“Semangat kejiranan yang kuat malah mereka begitu fasih berbahasa Melayu ini contoh yang baik dalam masyarakat kita,” katanya.

Pastinya buat dua beranak ini, kunjungan Menteri Besar membawa perkhabaran baik terutama sempena tahun baru Cina ini.

Hanya secalit senyuman  itu jelas membuktikan kegembiraan mereka berdua.

Bagi Kim Leng persahabatan yang terjalin sejak kecil bersama Saravanan begitu membantunya mengharungi kehidupan bersama ibunya selama ini.

“Saya cukup seronok …saya kawan dengannya sejak kecil dan dia banyak membantu kami,” katanya.

Bagi isteri Saravanan, N Krishnavany menjadi kebiasaan buat mereka sekeluarga untuk memastikan ibu dan Kim Leng dalam keadaan yang baik.

“Pagi-pagi kami sediakan sarapan, bawa mereka ke klinik dan pasar dan kami juga senang memanggil ibu Kim Leng dengan panggilan ibu kerana mereka sudah seperti keluarga,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");