KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melahirkan rasa bangga di atas kejayaan Mohd Faiz Subri yang memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016.
Khairy menerusi akaun rasmi Twitter miliknya, berkata: “So proud. Tahniah, Faiz. Once in a lifetime goal”.
Penyerang sensasi Pulau Pinang, Mohd Faiz melakar sejarah bola sepak negara dan Asia menerusi jaringan ajaib berpunca daripada sepakan percuma yang melencong seperti ‘banana kick’ yang turut disifatkan ‘melanggar hukum fizik’.
Anugerah terbabit disampaikan legenda bola sepak Brazil, Ronaldo sekali gus menyaksikan kemenangan ini meletakkan Mohd Faiz sebaris dengan pemain ternama yang pernah merangkul anugerah terbabit seperti Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.
Kemenangan itu juga menyaksikan bapa kepada dua cahaya mata itu mengecewakan hasrat bumi Amerika Selatan apabila mengetepikan dua pencabar terdekatnya, Marlone dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez.
-BH Online