Membawang Hari Ini

‘Konsert’ jalanan bagai di panggung

Atas inisiatif untuk mendekatkan artis dengan peminat, stesen radio Suria FM memperkenalkan program Suria Jam yang menyaksikan beberapa penyanyi menyanyi di jalanan bersama pemuzik iringin.

Kebiasaannya orang ramai dihiburkan dengan ‘busking’ yang ringkas, namun Suria Jam memberikan satu pengalaman baru buat peminat.

Pengurus Kandungan Kreatif dan Pengurusan Suria FM Ahmad Shaifullizam atau GBam berkata, program ini juga dapat menghargai pemuzik dan menaik taraf muzik itu.

“Kita selalu menonton persembahan ‘busking’ yang biasa, tapi dalam Suria Jam kita mengetengahkan konsep itu pada skala lebih besar. Ia seolah-olah menyaksikan sebuah persembahan di panggung.

“Selain memberi peluang penyanyi terbabit berada lebih dekat dengan peminat mereka, kita juga ingin menonjolkan bakat hebat pemuzik tempatan,” katanya.

Suria Jam membuka tirai persembahan di Dataran Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur minggu lalu dengan menampilkan penyanyi baru Haqiem Rusli dan diva dangdut Amelina.

Pada hari kedua pula menyaksikan kehebatan dua penyanyi Khai Bahar dan Azharina beraksi di Dataran Medan Pasar, Kuala Lumpur.

Dalam program berkenaan, setiap penyanyi menyampaikan empat lagu.

“Sebagai permulaan, lokasi persembahan di sekitar ibu kota. Masa pula waktu rehat pekerja iaitu jam 1 tengah hari. Dari segi pemilihan artis ia berdasarkan sasaran pendengar kami. Disebabkan itu dalam sehari kami menampilkan seorang penyanyi baru dan senior.

“Pada masa sama, persembahan setiap penyanyi juga dirakam dan ditayangkan di laman rasmi Suria FM bermula 1 Februari ini. Insya-Allah Suria Jam akan diteruskan lagi pada Mac ini,” katanya.

GBam juga berbangga dan teruja untuk meneruskan program ini disebabkan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Cuaca panas terik tidak menghalang mereka untuk terus menonton dan menunggu hingga tamat persembahan.

Tak kisah menyanyi tengah panas

Bagi penyanyi yang popular dengan lagu Bayang, Khai Bahar puas walaupun terpaksa menyanyi di bawah panas terik.

“Ini pertama kali saya terbabit dalam persembahan ‘busking’ tapi pada skala lebih besar. Secara peribadi saya menyukai konsep persembahan ini yang lebih santai. Pendek kata saya memang selesa dan ‘enjoy’.

“Saya juga tak menjangka program ini mendapat sambutan hebat. Bukan apa, saya bimbang orang ramai tak nak berdiri di tengah panas. Tapi sangkaan itu meleset kerana mereka lebih awal datang menunggu.

“Sokongan peminat itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk menyanyi. Ini satu pengalaman baru untuk saya apatah lagi dapat berinteraksi lebih dekat dengan peminat,” katanya.

Sependapat dengan Khai, penyanyi dangdut popular Amelina menyifatkan Suria Jam adalah usaha terbaik bagi mengekalkan hubungan baik antara penyanyi dan peminat.

“Program ini bukan saja sesuatu yang baru untuk saya, malah ia juga satu bentuk eksperimen buat penyanyi yang terbabit.

Pada mulanya saya agak takut juga, tapi itulah cabaran saya. Bukan mudah sebenarnya nak menarik perhatian orang ramai datang menonton persembahan kita apatah lagi khalayak ramai sekitar Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, lagu lama saya berjaya menarik perhatian sehingga membuatkan mereka tidak berganjak. Memang meriah dibuatnya kerana penonton juga ‘sporting’,” katanya.

Amelina memilih untuk menyanyikan lagu Cinta Harus Seksi, Memori Daun Pisang, Ah Rindu Lagu, Di Dadaku Ada Kamu dan Perawan Atau Janda.

Sementara itu, penyanyi muda Haqiem Rusli melihat peluang diberikan pihak Suria FM sebagai satu langkah baru untuk memperkenalkan lagi lagu dan bakat nyanyiannya.

“Suria Jam ini adalah satu platform yang bagus untuk penyanyi baru seperti saya. Persembahan sebegini sedikit sebanyak membuktikan kami boleh menyanyi di jalanan dan bukan di pentas besar saja.

“Ia menambahkan pengalaman saya sekali gus dapat mendekatkan diri dengan peminat. Pendek kata program ini membantu dalam meningkatkan vokal dan keyakinan diri,” katanya yang menyanyikan lagu Terakhir, Dari Mata, Pencuri Hati dan Segalanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");