Sukan Hari Ini

Liverpool Pamer Aksi ‘Buruk’

LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp akur apabila skuad bimbingannya beraksi “amat buruk” selepas kelab Divisyen Dua, Wolverhampton Wanderers menyingkirkan The Reds dalam saingan Piala FA di Anfield, semalam.

Memetik laporan AFP, kekalahan 2-1 di pusingan keempat itu bermakna Liverpool yang ketika ini ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Chelsea dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL), tersingkir di dua kejohanan dalam tempoh empat hari.

Terdahulu Liverpool disingkirkan di peringkat separuh akhir dalam kempen Piala Liga Inggeris selepas tewas 2-0 secara agregat kepada Southampton, Khamis lalu.

“Kami bermain dengan amat buruk,” kata Klopp kepada BT Sport. “Kami bermula dengan terburu-buru dan tidak menjadi semakin baik. Semua orang melihatnya.

“Tidak banyak perkara yang bagus untuk dikatakan dalam perlawanan ini. Sukar untuk dijelaskan.” Kekalahan itu menyaksikan Liverpool hanya menang satu perlawanan tahun itu iaitu menentang kelab divisyen empat, Plymouth pada pusingan ketiga Piala FA.

“Jika seseorang berkata ini adalah tempoh paling buruk sejak saya berada di Liverpool sehingga kini, saya tidak tahu,” kata Klopp.

“Namun ia adalah masa yang baik untuk bangkit kerana tidak mustahil untuk menjunam lebih jauh.”

Ketika ditanya mengenai perubahan yang dilakukannya, Klopp berkata: “Saya bertanggungjawab dengan barisan yang diturunkan. Saya tidak boleh menyalahkan seseorang pemain saja.”

Malah The Reds selepas ini bakal bertemu Chelsea di laman sendiri pada Selasa ini dan di sebalik prestasi hambar, Klopp berkata ia tidak bermaksud pendahulu liga itu akan mendapat laluan mudah.

“Ia tidak memudahkan Chelsea, ia bukannya perlawanan penentuan. Ia bergantung kepada kami dan jika kami bermain dengan baik, kami memiliki peluang. Jika tidak, kami tiada peluang.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");