Sukan Hari Ini

Malik kekal kapten Kuantan FA

KUANTAN: Penyerang berbisa Kuantan FA yang juga penjaring terbanyak tempatan Liga Perdana musim lalu, Abdul Malik Mat Arif dikekalkan selaku kapten skuad itu musim ini.

Pengendali The Seagulls, Zulhamizan Zakaria berkata, tanggungjawab berkenaan diyakini boleh memberi lebih inspirasi kepada Abdul Malik untuk lebih cemerlang mengetuai jentera serangan pasukan.

Katanya, pengalaman dimiliki pemain kelahiran Kuantan yang pernah bersama skuad Pahang itu juga diharap dapat membantu Kuantan FA meraih kejayaan lebih cemerlang musim ini.

“Ini adalah musim ketiga Malik bersama kami dan saya percaya beliau sudah bersedia untuk menggalas tanggung jawab sebagai ketua pasukan.

“Saya harap keputusan ini adalah tepat dan memberi motivasi kepada Malik untuk mengepalai skuad The Seagulls musim ini. Pengalaman yang dimilikinya juga diharap dapat membantu pasukan dalam saingan Liga Malaysia.

“Saya percaya semua pemain juga dapat memberikan kerjasama kepada Malik dan beraksi lebih mantap sepanjang kempen Liga Malaysia kali ini,” katanya ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.

Dalam saingan musim lalu, Abdul Malik, 25, menjaringkan 10 gol dalam saingan Liga Perdana, sekali gus dinobatkan selaku penjaring terbanyak kategori pemain tempatan.

Mengulas prestasi membanggakan pemain baharu skuad itu, Nabilah Khan Razali yang membantu Pahang menjulang Piala Emas Raja-Raja 2016, Zulhamizan berkata, setakat ini beliau berpuas hati dan berharap pemain itu dapat mengekalkan rentak konsisten sepanjang musim ini.

“Sentuhan penyudah yang ditampilkan Nabilah ketika beraksi pada saingan Piala Emas Raja-Raja lalu sangat membanggakan saya dan pihak pengurusan (Kuantan FA).

“Begitu juga ketika aksi persahabatan pra musim baru-baru ini di mana dia menyumbang enam gol. Bagaimanapun saya sentiasa mengingatkannya, ujian sebenar adalah apabila saingan (Liga Perdana) bermula nanti,” katanya.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");