Membawang Hari Ini

Nina Juren dihujani tawaran berlakon

PELAKON cantik, Datin Nina Juren mengakui pada mulanya dia kembali aktif dalam lakonan sekadar untuk mengubat rindu setelah lebih tujuh tahun berehat daripada dunia seni kerana mahu memberikan tumpuan kepada rumah tangga.

Namun di luar perancangannya, tawaran demi tawaran yang datang bersilih ganti membuatkan dia kadangkala berasa serba salah untuk menolak, sedangkan dia mahu lebih menumpukan perhatian kepada anak-anaknya yang sedang membesar.

“Saya kembali berlakon pada hujung 2015 sekadar untuk mengubat rindu untuk berlakon, apatah lagi ketika itu ramai yang bertanya dan mencadangkan saya agar kembali berlakon.

“Jadi saya setuju untuk berlakon namun saya tetapkan untuk mengambil satu atau dua sahaja tawaran berlakon dalam setahun kerana tidak mahu terlalu sibuk di luar memandangkan saya mempunyai komitmen yang besar lebih besar di rumah untuk anak-anak,” ujar ibu kepada enam anak ini jujur.

Bagaimanapun selepas penampilan semulanya mendapat sambutan ramai, Nina tetap dihujani tawaran dari beberapa produksi yang mahukan Nina untuk membintangi drama terbitan mereka.

“Sebenarnya saya pun terkejut dengan respons dari penonton yang menerima baik lakonan saya walaupun sudah lama tak muncul di kaca TV.

“Walaupun awalnya perancangan awal saya hanya nak berlakon satu drama sahaja, sedar tak sedar saya buat empat drama sepanjang 2016.

“Ini semua kerana permintaan kawan-kawan yang sukar untuk saya tolak seperti Michael Ang yang sentiasa ada helah untuk mengajak saya berlakon di bawah arahannya,” katanya.

Antara drama lakonan Nina yang mendapat sambutan hangat seperti M.A.I.D, Madam Nona Pokok Sena, Dia Semanis Honey dan Suri Hati Mr Pilot.

Terbaru pelakon yang pernah menempa nama menerusi filem Lenjan (1998) ini baru sahaja selesai tampil di pentas teater Dia Semanis Honey Muzikal yang berakhir Khamis lalu.

“Alhamdulillah suatu pengalaman yang baru buat saya berlakon di pentas atas desakan dan pujukan rakan-rakan pelakon yang terlibat dalam drama Dia Semanis Honey yang sememangnya begitu rapat dengan saya.

“Memang pada mulanya saya menolak kerana kekangan masa dan ketidaksediaan saya untuk berlakon di pentas dengan naskhah muzikal, namun segalanya seperti sudah diatur untuk saya membuatkan saya cuba untuk melunaskan tanggungjawab ini dengan sebaiknya,” katanya.

Meskipun suami tidak pernah meletakkan syarat buat dirinya untuk terus aktif dalam bidang seni, Nina mengakui tidak mahu mengambil kesempatan atas situasi itu.

“Suami tidak meletakkan apa-apa syarat kerana dia tahu saya jenis yang bagaimana orangnya, sebaliknya saya pula yang sering mengingatkan diri agar tidak boleh begitu atau begini setiap kali menerima tawaran berlakon.

“Apa pun selepas selesai dengan teater Dia Semanis Honey Muzikal ini, saya memang tidak akan mengambil apa-apa tawaran berlakon buat seketika kerana mahu meluangkan masa bersama anak-anak setelah sebulan setengah ketinggalan banyak perkara kerana sibuk dengan teater.

“Insya-ALLAH, jika semuanya berjalan lancar sekitar bulan Jun depan saya akan kembali dengan penggambaran drama terbaru, Pengantin Musim Salju yang juga merupakan drama arahan Michael Ang,” ujar Nina yang juga aktif dalam bidang perniagaan ini.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");