Isu Panas

PAS nasihat Tun M jauhi DAP

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menjauhi DAP jika mahu menjayakan kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAS.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, ketika Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berusaha mewujudkan kerjasama itu, Dr Mahathir pula terus masuk ke perangkap DAP yang sebelum ini dilihat beliau sebagai parti cauvinis dan anti Islam.

Beliau berkata, usaha mendaulatkan Islam sebagai penyelesaian sebenar kepada kemelut dihadapi negara termasuk krisis integriti, tidak mungkin dapat dilaksanakan jika DAP terbabit.

Katanya, sikap DAP dan pihak lain yang anti kepada sistem pemerintahan Islam dianjurkan PAS, akan hanya membantutkan ruang kerjasama ke arah menyelamatkan negara.

“Perkara inilah yang mensabotaj usaha untuk menjalin hubungan antara PAS dan PPBM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zuhdi yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, berkata krisis integriti yang berlaku di Malaysia hari ini berpunca daripada sistem urus tadbir negara dan tata kelola awam yang sudah rosak dan pincang.

Bagaimanapun, katanya, PAS tetap berpendirian tindakan menjatuhkan seseorang individu, bukanlah jalan penyelesaian kepada krisis integriti, sebaliknya hanya mengulangi krisis sama di masa depan.

“Saya yakin sebagai sebuah parti Islam, pimpinan PAS dan ahlinya sedia memaafkan sesiapa sahaja termasuk Dr Mahathir, meskipun PAS adalah antara pihak yang paling tertekan daripada tindak-tanduk pemimpin ini ketika beliau berkuasa.

“Perisytiharan darurat Kelantan, tragedi Memali, penentangan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, pemansuhan royalti petroleum Terengganu dan pemansuhan geran Sekolah Agama Rakyat adalah antara tindak tanduk Dr Mahathir untuk menekan PAS.

“Pimpinan dan ahli PAS diyakini bersedia memaafkan sesiapa sahaja yang bersedia untuk membetulkan kesilapan dan membela semula mereka yang dizalimi kesan daripada tindakan itu,” katanya.

-BH ONline

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");