Berita Hari Ini

PAS Ucap Tahniah Keberanian Kerajaan Anjur Sesi Tergempar OIC

KUALA LUMPUR:PAS mengucapkan tahniah kepada kerajaan berikutan keberanian dalam menganjurkan Sesi Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai situasi masyarakat minoriti Muslim Rohingya di Myanmar, semalam.

Malah PAS memberikan komitmen untuk terus menyokong usaha semua pihak termasuk kerajaan bagi menangani isu penindasan dan kezaliman terhadap etnik berkenaan.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, berkata PAS juga akan terus konsisten bersuara demi memastikan masyarakat Rohingya mendapat hak pembelaan yang sepatutnya.

“Sesi tergempar OIC semalam adalah langkah penting bagi memastikan kesatuan dalam kalangan negara umat Islam bagi menyelesaikan krisis berpanjangan yang melanda umat Islam Rohingya.

“Konflik di wilayah Rakhine sudah lama berlaku sejak rampasan kuasa oleh junta Jeneral Ne Win pada 1962 yang kemudiannya memperkenalkan Undang-Undang Kewarganegaraan Burma dengan tidak mengiktiraf masyarakat Rohingya sebagai sebahagian daripada rakyat negara itu.

“Implikasinya dirasai hingga ke hari ini apabila masyarakat Rohingya tidak memperoleh akses kepada keperluan asas seperti nutrisi, pendidikan dan kesihatan,” katanya memetik sumber Berita Harian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh, berkata tidak cukup dengan penindasan, konflik tambah meruncing apabila serangan tidak berperikemanusiaan daripada golongan ultra-nasionalis Buddha dan rejim tentera Myanmar sendiri terhadap golongan minoriti terbabit.

Beliau menegaskan desakan perlu dilaksanakan supaya bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke wilayah yang bergolak malah tekanan diplomatik juga harus dikenakan terhadap kerajaan Myanmar supaya menamatkan kekejaman itu selain mengembalikan hak kewarganegaraan kepada masyarakat Rohingya.

“Tugas ini harus diambil perhatian oleh Malaysia yang juga anggota OIC dan ASEAN. Kedua-dua pertubuhan ini perlu berperanan bagi menamatkan tekanan yang sedang berlaku di wilayah Rakhine,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");