Jenayah

Pemandu dihukum gantung bunuh abang ipar

AYER KEROH: Mahkamah Tinggi Melaka di sini, hari ini menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap seorang pemandu selepas didapati bersalah membunuh abang iparnya, pada tahun 2012.

Hakim Datuk Zulkifli Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairul Nordin, 46, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh yang berbaju T dan seluar panjang berwarna putih hanya tunduk sebaik keputusan itu dibacakan.

Dalam penghakimannya, Zulkifli berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan mempunyai bukti kukuh untuk mensabitkan kesalahan terhadap tertuduh.

Selain itu, katanya, mahkamah turut meneliti semula keterangan pendakwaan, sebelum mempertimbangkan pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap hujah pendakwaan.

Khairul didakwa membunuh Abdul Rashid Ahmad, 48, di halaman rumah mangsa di Lot 115A, Kilometer 18, Kampung Serkam Pantai, Merlimau, Jasin, kira-kira jam 8 malam, pada 22 Ogos 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Iffa Sirhu Samsudin, manakala tertuduh diwakili peguam Asmawi Ismail.

BH pada 24 Ogos 2012 melaporkan, Rashid yang bekerja sebagai jurukimpal maut selepas cedera parah ditikam adik iparnya di kediaman ibu mangsa di Kampung Serkam Pantai di sini.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");