KUALA LUMPUR: Polis Petaling Jaya memberkas seorang pemandu teksi yang dipercayai aktif dalam merompak penumpangnya di Jinjang Utara, di sini, semalam.
Suspek berusia 27 tahun itu diberkas hasil maklumat yang diberikan oleh seorang wanita warga Indonesia, yang menjadi mangsa ketika menaiki teksi berkenaan bersama dua rakannya di Sri Damansara, pada 31 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kantin hendak menuju ke pusat beli-belah di Kepong.
“Semasa tiba di hadapan Selayang Mall, suspek menghalau dua rakan mangsa supaya turun dari teksi dan memandu ke arah satu lokasi yang tidak diketahui mangsa sebelum memaksanya menyerahkan wang dan barang berharga lain.
“Kerana ketakutan, mangsa kemudian menyerahkan wang tunai RM1950, Rupiah 300,000 dan barang kemas miliknya serta pasport sebelum suspek membawanya ke sebuah stesen minyak,” katanya kepada BH.
Beliau berkata, semasa di stesen minyak, mangsa sempat mengambil kad pendaftaran pemandu teksi milik suspek dan keluar dari teksi untuk mendapatkan bantuan orang ramai.
“Panik dengan situasi itu, suspek bertindak memecut teksinya dan menghilangkan diri manakala mangsa membuat laporan polis.
“Atas maklumat yang diberikan kita dapat menjejakinya sebelum memberkasnya selain turut menemui barang kemas dan pengenalan diri milik orang lain yang dipercayai mangsanya,” katanya.
Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan merompak dan akan direman pagi ini di Mahkamah Petaling Jaya.
-BH Online