Isu Panas

Pemuda mahu dengar pendirian Mukhriz

ALOR SETAR – Pemuda Umno Kedah mendesak Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan pendirian selepas Penasihat Parti Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak kerjasama dengan Pas.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, umum sedia mengetahui bahawa kerjasama politik Mukhriz sering diperalatkan oleh Pas Kedah yang sering berkongsi pentas di beberapa siri ceramah di negeri ini.

“Pemuda Umno Kedah menggesa agar Mukhriz tidak terus membungkam tanpa mengeluarkan apa-apa pendirian di mana beliau sebelum ini sering mendabik dada mempertahankan prinsip tertentu.

“Kami juga ingin mendengar komen Mukhriz atas beberapa kenyataan pemimpin Pas yang sama sekali tidak memberi laluan kepada Parti Bersatu bertanding di mana-mana kawasan yang ditandingi mereka sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, jelas sekali akan wujud pertandingan tiga penjuru di Kedah dan sudah semestinya tidak akan memberi kelebihan kepada Parti Bersatu.

“Namun Pemuda Umno Kedah amat memahami demi kuasa nafsu kebencian terhadap BN dan perdana menteri, Mukhriz akan terus membungkam demi untuk ditinggalkan keseorangan dalam perjuangan beliau untuk melunaskan dendam di Kedah.

“Pemuda Umno Kedah juga mendesak pendirian Pas Kedah untuk terus berkongsi pentas ceramah bersama Mukhriz setelah Tun Mahathir secara jelas menolak kerjasama parti itu. Persoalannya adakah ‘walak’ ataupun prinsip akur kepada arahan parti dan pemimpin hanya diterima pakai di tempat lain dan tidak di Kedah,” katanya.

Soalnya lagi, adakah Pas tidak langsung mempunyai asas isu yang besar untuk menyerang kerajaan BN di Kedah sehingga terpaksa menumpang populariti bekas Menteri Besar Kedah itu bagi membuktikan mereka masih relevan.

“Pemuda Umno Kedah mohon agar semua persoalan ini dirungkaikan oleh pemimpin Pas Kedah yang dilihat semakin lesu dan bankrap modal politik untuk terus meyakinkan rakyat.

“Kesemua persoalan ini diutarakan oleh Pemuda Umno Kedah bukanlah bermaksud kita tidak berani, tetapi sekadar ingin merungkaikan kekeliruan terhadap prinsip ‘walak’ Pas Kedah,” katanya.

Tambahnya, Pemuda telah bersedia berada dalam gelanggang dan siap siaga berhadapan dengan apa jua cabaran politik.

“Tapi hakikatnya kita amat simpati terhadap parti yang terus menerus memperalatkan ‘orang terbuang’ untuk terus kekal relevan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");