Berita Hari Ini

Pengurusan di pusat pemindahan lebih teratur

KUCHING – Pengurusan mangsa banjir di pusat pemindahan banjir seluruh negara berjalan lancar dan diurus dengan lebih teratur kali ini berbanding tahun tahun sebelumnya, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

“Mangsa dan sukarelawan sekarang lebih terurus dan kita mempunyai lebih ramai sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di pusat pemindahan,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga tengah hari ini, enam negeri masih dilanda banjir, dan menambah, bahawa banjir pada kali ini berbeza dengan 2014.

Setakat tengah hari ini, empat pusat pemindahan ditutup dan lebih 1,000 mangsa telah pulang ke rumah masing-masing namun masih terdapat kira-kira 11,000 orang di pusat pemindahan di enam negeri.

“Saya difahamkan urusan di pusat pemindahan berjalan lancar dan kita sentiasa memantau keadaan dan apabila diarah oleh pegawai daerah untuk berpindah balik saya berharap mangsa-mangsa banjir akan segera berbuat demikian,” katanya.

Rohani berkata setakat ini kerajaan telah membelanjakan lebih RM1.3 juta untuk penambahbaikan dari segi penyediaan barangan bagi pangkalan hadapan.

Katanya modus operandinya ialah mana–mana tempat yang tidak terjejas banjir kali ini akan menggunakan bekalan makanan di depo masing-masing untuk dihantar ke tempat yang terjejas.

Setiap depo mempunyai stok bekalan makanan untuk keperluan 7,000 mangsa bagi tempoh seminggu.

Selain itu, katanya kit bencana yang mengandungi air minuman, biskut, mi segera dan makanan di dalam tin turut diagih kepada mangsa banjir sebagai mengalas perut sementara menunggu urusan pendaftaran.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");