Jenayah

Peniaga edar dadah bakal ke tali gantung

AYER KEROH: Seorang peniaga berdepan hukuman gantung selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas enam pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah seberat 55.155 kilogram (kg), pertengahan bulan ini.

Tai Kah Yuen, 31, dari Bukit Beruang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Analia Kamaruddin. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methampetamin dengan berat kasar 250 gram (g); ketamin (5,405 g); pil ecstasy (1,050 g); nimetazepam (2,250 g); cecair ketamin (46,000 g) dan rokok disyaki mengandungi ketamin (200 g).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah pangsa di Taman Malinja, Bukit Baru, kira-kira jam 2.20 pagi, pada 15 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Saaban dan Norshazwani Ishak mengendalikan kes pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam James S Thanjong Tuan.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia terhadap semua pertuduhan.

BH pada 16 Januari lalu melaporkan, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM485,850 selepas menahan seorang peniaga dipercayai pengedar dadah di tepi jalan di Taman Melaka Raya, Banda Hilir, di sini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan dalam sidang medianya dilaporkan berkata, lelaki dikenali sebagai Ah Tai itu ditahan pada jam 2.20 pagi dan kemudian membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah di sebuah rumah pangsa di Bukit Baru.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");