Berita Hari Ini

Perlu ada lesen kelayakan letup bunga api

KUALA LUMPUR – Individu yang meletupkan bahan letupan bunga api perlu mempunyai lesen dan kelayakan untuk melakukannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, penganjur persembahan bunga api yang diadakan di mana-mana kawasan tidak boleh mengupah individu sembarangan untuk meletupkan bahan letupan bunga api bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku akibat tidak mengikut prosedur.

“Jenis bahan letupan yang digunakan juga mesti bahan yang mematuhi piawaian dan peraturan ditetapkan.

“Inilah antara perkara yang akan dilihat oleh polis sebelum meluluskan sesuatu pertunjukan bunga api,” katanya.

Selain itu katanya, jarak antara peletup bahan letupan bunga api dengan orang ramai juga perlu diambil kira bagi memastikan keselamatan penonton.

Beliau berkata, polis akan menyiasat punca Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak membuat permohonan kepada polis sebelum persembahan itu diadakan.

Menurutnya, polis akan menyiasat sama ada individu yang meletupkan bunga api pada majlis itu mempunyai lesen atau sebaliknya.

Difahamkan, bunga api yang digunakan meletup sebelum ia berada di udara dan mencederakan mereka yang berada di kawasan berhampiran.

Sementara itu, semakan yang dibuat dengan polis berhubung permohonan permit oleh beberapa penganjur pertunjukan bunga api sempena sambutan Tahun Baharu 2017 di ibu kota malam kelmarin, mendapati mereka mempunyai permit untuk mengadakan pertunjukan itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya meluluskan permohonan kesemua pusat beli-belah yang ingin mengadakan pertunjukan bunga api malam semalam di premis mereka.

“Sebelum permit diberikan, polis telah memeriksa kawasan yang ingin dijadikan tapak pelancaran serta meneliti bahan letupan yang akan digunakan pada majlis itu,” katanya.

Mohd Zani memberitahu, setiap kawasan yang diteliti harus mempunyai jarak yang selamat dan orang awam tidak boleh mendekati kawasan yang dijadikan tapak terbabit.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");