Sukan Hari Ini

Piala Asia: Sukar tapi tak mustahil

WALAUPUN tampak sukar, namun Ketua Jabatan Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), B Sathianathan percaya skuad Harimau Malaysia mampu mencipta keputusan positif pada saingan kelayakan Piala Asia 2019.

Isnin lalu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Utara, Lubnan dan Hong Kong.

Bagi Sathianathan, walaupun di atas kertas Malaysia berdepan tugas berat untuk layak ke Piala Asia, namun segala kemungkinan boleh berlaku sekiranya pemain negara mampu mencipta kejutan menumpaskan Lubnan dan Hong Kong.

“Dalam kumpulan ini semua pasukan amat kuat dengan ranking dan prestasi lebih baik daripada skuad negara.

“Namun, ia akan jadi tak mustahil untuk dilaksanakan sekiranya pemain dapat cipta kejutan menumpaskan Lebanon dan Hong Kong untuk berada di kedudukan kedua di belakang Korea Utara.

“Kalau kita mencari jalan senang, memang sudah tiada. Itu satu-satunya peluang yang kita ada (menumpaskan Lubnan dan Hong Kong) “ katanya.

Persediaan awal

Berdasarkan ranking, skuad negara yang berada di kedudukan ke-161 jauh ditinggalkan di belakang berbanding ketiga-tiga negara itu dengan Lubnan (148), Hong Kong (140) dan Korea Utara (125).

Perlawanan peringkat kumpulan akan dilangsungkan dari 28 Mac 2017 hingga 27 Mac 2018 dengan dua pasukan terbaik daripada setiap enam kumpulan akan mara ke pusingan akhir.

Mengulas lanjut, kata Sathianatahan, Kim Swee perlu membuat persediaan dari awal mencari pemain yang kini berada dalam prestasi terbaik.

Tegasnya lagi, persefahaman antara pemain merupakan fokus utama yang perlu dibentuk Kim Swee dalam baki tempoh dua bulan ini.

“Dari sekarang, Datuk Ong Kim Swee perlu terus turun padang cari pemain yang betul-betul menyerlah dalam liga.

“Jangan tunggu sebulan sebelum ataupun beberapa minggu untuk buat pemilihan dan melatih mereka,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");