Sukan Hari Ini

Piala Sumbangsih 2017: JDT, Kedah Sama Kuat

PETALING JAYA: Sukar untuk meramal pasukan mana yang akan menjulang trofi Piala Sumbangsih 2017 kerana finalisnya, kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah disifatkan sama-sama kuat.

Kedua-dua pasukan yang akan bersaing Jumaat malam ini masing-masing mempunyai misi dan cita-cita yang akan mencorak hala tuju mereka pada Liga Malaysia (L-M) musim ini.

JDT berusaha melakar kejuaraan hatrik di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin selepas memenanginya pada 2015 dan 2016, manakala Kedah pula yang menjuarai Piala Malaysia musim lalu turut bercita-cita untuk merampas trofi tersebut daripada genggaman skuad Harimau Selatan itu.

mStar Online mendapatkan ramalan beberapa jurulatih yang berpengalaman luas dalam L-M mengenai pasukan pilihan mereka yang akan menjuarai perlawanan itu.

Bekas pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan menjadikan JDT sebagai pilihannya kerana yakin dengan prestasi luar biasa pasukan milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu.

Beliau berkata, JDT mempunyai kelebihan kerana mereka beraksi di gelanggang sendiri selain tidak mempunyai masalah dari segi keserasian pemain.

“Bagi saya memang kelebihan berpihak kepada JDT kerana banyak sebab. Pertama… mereka main di tempat sendiri dan kedua, pemain mereka sudah serasi. Jadi tiada masalah untuk mereka mengekalkan kejuaraan ini,” katanya.

Namun, Zainal berkata anak buah Benjamin Mora itu tidak boleh memandang remeh pasukan Kedah dan perlu berusaha dua kali ganda untuk mencipta sejarah di stadium sendiri.

“Kedah memang season team, mereka sentiasa berada di puncak. JDT perlu lebih waspada dengan ancaman Kedah dan berusaha dua kali ganda jika mahu mencipta hatrik,” katanya yang meramalkan JDT menang 1-0.

Pada masa sama, beliau percaya kehadiran jurulatih baharu tidak sama sekali akan menjejaskan rentak permainan JDT.

“Bagi saya pertukaran jurulatih pada saat-saat akhir tidak sama sekali beri kesan kepada JDT. Dalam akhbar, jurulatih baharu beritahu tetap ikut rentak seperti biasa, jadi tiada masalah,” katanya.

Ketika ramai pihak meramal JDT akan memenangi perlawanan itu, berbeza pula dengan jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Fauzi Pilus yang memilih Kedah sebagai pasukan pilihannya dengan keputusan 2-1.

Beliau berkata Kedah mampu memberi tentangan sengit kepada JDT kerana mereka dibarisi pemain muda yang semakin menyerlah dan matang.

“Kita lihat JDT memang satu pasukan yang kita tahu kekuatannya dengan dibarisi pemain hebat dalam liga terbaik dalam negara kita. Namun saya lihat ada kelebihan juga kepada Kedah.

“Tentangan sengit mungkin berlaku kerana Kedah mempunyai pemain muda yang semakin menyerlah dan matang. Malah kombinasi pemain mereka juga semakin baik kerana pasukan itu diperkuat muka-muka lama yang beraksi pada liga musim lalu,” katanya.

Justeru, beliau berkata tidak mustahil bagi Kedah untuk melakar kejutan dengan mengambil kira kekuatan pemain muda dan pemain berpengalaman pasukan itu.

“Ramai pemain lama kekal di Kedah, jadi ini kelebihan yang mereka ada. Saya rasa tidak mustahil untuk mereka menang perlawanan ini,” katanya.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");