Isu Panas

PKR kecam tindakan polis halang program

GEORGETOWN – PKR mengecam tindakan polis yang menahan dan menghalang kerja-kerja pemasangan papan tanda untuk promosi dua program anjuran parti itu, kelmarin.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin berkata, tindakan menahan mereka dari melaksanakan tugas disifatkan berbentuk intimidasi terhadap gerak kerja PKR dalam usaha mengajak rakyat menyokong usaha membebaskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, PKR turut mendesak agar polis menghentikan gangguan terhadap dua program yang akan diadakan di negeri ini.

“Kita tuntut agar polis tidak mengganggu dua program PKR iaitu Himpunan Solidariti #BebasAnwar #SelamatkanMalaysia yang akan diadakan di Padang Kota pada 9 hingga 12 Januari ini dan Ceramah Mega #BebasAnwar #Selamatkan Malaysia di Tapak Ekspo Seberang Jaya pada 9 Januari, jam 9 malam.

“Ini kerana, semua butiran program telah dimaklumkan kepada polis sejak 21 Disember lalu. Kami kesal dengan penahanan tiga petugas yang sedang menjalankan tugas mereka itu,” katanya menerusi kenyataan medianya, kelmarin.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Keadilan Pulau Pinang berkata, pihaknya akan tetap meneruskan usaha promosi dan hebahan mengenai program solidariti #BebasAnwar itu.

“Anwar Ibrahim akan berada di Pulau Pinang dari 8 hingga 12 Januari ini. Semua program yang disusun akan dijalankan seperti yang dijadualkan.

“Oleh itu, kami akan turut berada di hadapan Penjara Jawi, Nibong Tebal pada 8 Januari (sebelah malam) bagi bersama-sama menyatakan sokongan kami kepada beliau,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Pulau Pinang, Zulkiefly Saad berkata, penahanan itu dilihat amat pelik kerana ketiga-tiga petugas itu bakal disiasat mengikut Akta Hasutan dan hairan, sejak bila perkataan ‘bebas Anwar’ itu diklasifikasikan sebagai berbaur hasutan?

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 50-an itu ditahan ketika memasang papan iklan berkenaan di Jalan Baru, Perai di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Menurutnya, polis membuka siasatan mengikut Akta Hasutan selepas terima laporan polis daripada orang awam berhubung pemasangan papan iklan berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");