Perak Hari Ini

Polis Minta Lelaki Panjat Kren Tampil Bantu Siasatan

IPOH: Polis meminta agar individu yang memanjat kren di tapak pembinaan projek yang baru dibina di Bandaraya Ipoh seperti yang menjadi viral baru-baru ini di Youtube untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada seorang pegawai keselamatan yang bertanggungjawab atas keselamatan dalam pembinaan projek Pusat Konvensyen Ipoh dimana lokasi kren itu berada.

Beliau berkata, susulan itu, polis telah membuka siasatan bagi kes tersebut dan sedang mengenalpasti lelaki yang memanjat kren berkenaan.

“Kita minta orang yang berkenaan sila datang untuk jumpa polis bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Balai bagi Balai Polis Sentral, Balai Polis Tambun dan juga Balai Polis Kg Simee di sini, hari ini.

Ujarnya, hasil siasatan juga mendapati bahawa lelaki yang memanjat kren berkenaan bukan daripada kumpulan sama yang memanjat ‘IPOH’ baru-baru ini.

Tegasnya, kes akan disiasat dibawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan membahayakan nyawa atau keselamatan diri serta orang lain dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar pihak yang bertanggungjawab terhadap tapak-tapak pembinaan projek untuk meningkatkan keselamatan di lokasi tersebut.

“Tuan punya tapak mestilah mempunyai langkah keselamatan untuk mencegah sebarang pencerobohan ke atas projek mereka.

“Selain itu, pihak polis juga akan membuat rondaan di projek-projek berkenaan,” tambah beliau lagi.

Mengulas lanjut mengenai kes sekumpulan remaja yang memanjat ‘IPOH’, beliau berkata, kesemua individu yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 24 tahun tersebut telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Jika ada keperluan baru kita akan panggil mereka dan kita akan lengkapkan siasatan sebelum rujuk kepada pihak atasan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");