Agak kasar, berani dan berterus terang.
Inilah gaya tersendiri Syaiful Bahrim Ahmad Dolbar atau Pool mengendalikan program hiburan Abah Kau! yang disiarkan menerusi medium YouTube.
Menggunakan pengalamannya lebih 13 tahun sebagai penyampai radio KLfm, Pool lebih senang menjadi diri sendiri dalam menyampaikan berita artis yang sememangnya ditagih peminat.
Pool, 44, berkata, dia cuba membawa dimensi baru buat peminat yang selama ini mencari berita berkaitan hiburan di dada akhbar dan kaca TV.
“Abah Kau! tiada kena mengena dengan mana-mana pihak dan diwujudkan atas inisiatif saya sendiri sejak Januari tahun lalu.
“Ia satu pilihan untuk mencari info berita hiburan selain media konvensional. Durasi program ini bergantung kepada sesuatu isu yang dibawakan dan paling lama sekitar tujuh minit.
“Saya dah cuba buat selama tiga atau empat minit tapi malangnya info yang ditampilkan tak lengkap. Di TV biasa, sesuatu isu hangat dikupas hanya lima minit dan boleh dikatakan Abah Kau! lebih terperinci,” katanya.
Penerima trofi Penyiar Versatil Radio Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2004 ini berkata, topik yang ditampilkan semestinya berkaitan isu hangat artis tempatan.
“Tentunya saya bawakan isu semasa artis dan keutamaannya ialah membela artis teraniaya, manakala berita sensasi atau gosip dihadkan.
“Saya nak ajar masyarakat untuk lihat sesuatu isu dengan lebih realistik dan bukannya isu remeh temeh.
“Saya juga tak sentuh isu peribadi artis. Memandangkan gaya penyampaian saya agak kasar, saya menyasarkan golongan berusia 18 tahun ke atas untuk menonton,” terangnya.
Mengulas penggunaan Abah Kau! sebagai judul, Pool yang pernah berlakon drama Indie Anak Jon, Kemarau Cinta dan Sugeh berkata, ia menggambarkan sikap seorang bapa yang tegas dalam mendidik anak.
“Kita ada bapa dan selalunya mereka tegas dengan anak. Apa yang dilakukan kerana sayangkan anak.
“Inilah yang dilakukan saya sebagai tanda sayangkan industri hiburan kita. Tak dinafikan segelintir pihak mengecam saya sebagai biadab kerana guna bahasa kasar.
“Sekarang bukan lagi masa untuk guna bahasa berbunga-bunga. Saya masih ada etika dan cuba dalami apa yang saya cuba ketengahkan dan bukan menuduh semberono,” katanya.
Pool yang turut berkebolehan menyanyi dan pernah menubuhkan kumpulan Awan mengakui berpuas hati dengan usaha yang dilakukannya setakat ini.
“Syukur ramai yang beri sokongan. Sehingga kini saya dah berjaya hasilkan sekitar 30 episod Abah Kau!
“Isu Mael XPDC dan Yazit Search yang dimuatkan mendapat tontonan tertinggi kerana saya kupas lebih mendalam berbanding orang lain.
“Keseluruhannya Abah Kau! dah ditonton 275,000 peminat, manakala langganan dah mencecah 1,000 orang,” katanya yang pernah terbabit dalam program Galaksi yang pernah disiarkan menerusi TV9.
-Harian Metro