Membawang Hari Ini

Popular dengan watak pembantu

WAJAHNYA kerap kali menghiasi drama-drama TV. Biarpun jarang diberikan watak utama, namun kelibatnya sentiasa memberi impak buat pelakon tinggi lampai ini, Riz Amin.

Berilah apa sahaja watak kepadanya, ia akan dibawa dengan sebaik mungkin hingga memberi kesan kepada penonton. Itulah kelebihan yang ada pada pelakon ini.

Ternyata, watak sampingan juga membuatkan namanya terus melekat di hati peminat dan juga produser drama.

Buktinya, tahun ini sahaja, merupakan tahun paling sibuk buat Riz Amin apabila ada sahaja tawaran berlakon untuknya.

Sejak menyertai Hero Remaja pada tahun 2014, Riz Amin tidak pernah berehat daripada industri malah, paling menarik tidak pernah memilih untuk sebarang tawaran.

Baginya, apa juga tawaran yang datang, itulah rezeki untuknya menyara keluarga.

“Alhamdulillah, saya sudah sampai ke tahap ini, dan bersyukur dengan rezeki yang ada. Inilah orang kata rezeki anak dan isteri.

“Biarpun watak kecil, saya bersyukur masih ada dalam industri seni ini,” katanya yang sudah 12 tahun bergelar insan seni.

Riz Amin tidak hanya berlakon, malah dengan wajah kacak serta ketinggian yang ada, dia menggunakan sebaik-baiknya peluang yang ada.

Tidak hanya itu, pelakon ini juga akan muncul dengan filem Tujuh yang menggandingkan dia dengan nama-nama besar lain seperti Siti Saleha dan juga Marsha.

“Filem itu dah hampir empat tahun siapa. Insya-ALLAH akan dipertontonkan pada tahun hadapan. Inilah filem pertama saya membawa watak utama bersama-sama enam lagi pelakon lain.

“Mungkin ini akan menjadi penanda aras terhadap lakonan saya,” katanya.

Kerjasama Sinar TV

Penghujung 2016, Riz Amin menjalin kerjasama dengan Sinar TV dalam menjayakan iklan komersial.

“Saya tidak pernah menolak, tambahan bekerja dengan orang-orang profesional ini memberikan saya lebih pengalaman.

“Dengan Sinar TV, saya buat komersial untuk GM Klang. Inilah penutup 2016 yang saya anggap terbaik buat saya, tidak hanya berlakon malah diberi kesempatan menjayakan komersial,” katanya.

Melangkah ke tahun 2017, sudah pasti perancangan lebih besar buatnya untuk terus memantapkan diri dalam dunia lakonan.

“Buat masa ini, saya sudah terima beberapa tawaran membabitkan siri tayangan untuk awal tahun hadapan.

“Antaranya drama Meniti Februari untuk slot Samarinda, Papa Ricky serta Gaduh Gaduh Sayang. Inilah permulaan baik untuk saya dan berharap akan terus diberi kepercayaan untuk terus berada di persada industri hiburan tempatan,” ujar ayah kepada seorang cahaya mata ini.

Fokus bisnes

Seperti kebanyakan artis tempatan yang lain. Riz Amin tidak lari untuk membuka perniagaannya sendiri pada tahun hadapan.

Bakal meneruskan kegemilangan resipi ibunya, Riz Amin kini dalam perancangan untuk membuka restoran masakan utara.

“Ibu dan ayah saya memang mengusahakan restoran di Universiti Utara Malaysia. Tak lama lagi ibu saya pun dah pencen, jadi taknaklah sia-siakan resipi yang ada tu, saya mengusahakannya di sini pula.

“Antara menu utama adalah nasi lemak dan nasi daging yang menggunakan resipi daripada ibu saya.

“Tapi semua itu, saya akan buat tahun hadapan. Saya akan mencari peluang dan ruang untuk merealisasikan impian ini,” katanya.

Perniagaan makanan itu akan dikendalikan sepenuhnya oleh Riz Amin serta dibantu keluarga yang lain.

“Dah pasti, kalau ada masa, saya akan meluangkan masa, namun semua ini masih di peringat perancangan. Mudah-mudahan menjadi kenyataan satu hari nanti,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");