Perak Hari Ini

PPN Perak Mohon Bawa Isu Pemutuan Padi Ke Kabinet

IPOH : Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak meminta agar kerajaan Persekutuan membawa isu pemotongan gred padi yang melanda pesawah ke dalam mesyuarat Kabinet berikutan ia memberi kesan kepada pendapatan pesawah.

Pengerusinya, Datuk Nadzri Ismail berkata, isu pemotongan gred padi ini tidak boleh sekadar dibincangkan di peringkat kementerian tetapi perlu diusulkan kepada Mesyuarat Kabinet untuk diputuskan.

“Piawaian yang digunakan adalah tidak standard. Sekiranya tidak mahu isu ini berlarutan, pelaksanaan pemutuan sebenar padi perlu ditangguhkan.

“Sementara itu, semua pihak yang berkaitan perlu mencari kaedah yang terbaik untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku,”katanya ketika ditemui dalam satu sidang media, hari ini.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah beberapa pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dari daerah Kerian.

Beliau berkata lagi, pihaknya meminta agar kerajaan menyediakan piawaian yang standard di antara pengilang-pengilang padi.

“Potongan belian padi yang terlalu tinggi kerana tiada nilai potongan maksima ditetapkan. Dahulu kadar potongan sekitar 16 peratus hingga 18 peratus tetapi sekarang tidak menentu sehingga mencecah 22 peratus hingga 60 peratus bagi musim 2/2016.

“Kenaikan harga padi kepada RM1,200 padi bagi satu tan hanya menguntungkan pihak pengilang padi tetapi tidak kepada pesawah padi di Perak,”jelasnya.

Dalam masa yang sama, Nadzri berkata, pihaknya menyambut baik kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang meminta kerajaan Persekutuan menangguhkan perlaksanaan pemutuan sebenar padi.

“Tindakan segera yang diambil oleh kerajaan negeri adalah sebagai penanda aras kecemerlangan kerajaan di dalam menangani masalah rakyat,”katanya.

Ujarnya lagi, PPN Perak juga turut melahirkan rasa terima kasih di atas keprihatinan Zambry yang bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Industri Padi dan Beras peringkat netgeri bagi memantau dasar dan polisi semasa kerajaan di dalam sektor tanaman padi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");