Sukan Hari Ini

Presiden FAM:Tunku Ismail Pengaruhi Pecahan Pencalonan

KUALA LUMPUR:Keputusan calon pilihan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk tidak bertanding sebelum ini dilihat telah mempengaruhi pencalonan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada pemilihan Kongres ke-53 pada 25 Mac depan.

Memetik sumber Harian Metro, percaturan Tunku Ismail mencadangkan nama Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM Tan Sri Aseh Che Mat sebagai calon pilihannya telah memperlihatkan pecahan pencalonan daripada 20 ahli gabungan (dua ahli gabungan tidak mengemukakan nama bagi calon presiden).

Biarpun Aseh memiliki jumlah tertinggi dengan tujuh pencalonan namun keputusan pada pemilihan itu nanti ternyata sukar diramal apabila Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mendapat sokongan ahli gabungan menerusi enam pencalonan.

Tunku Ismail pula mendapat empat pencalonan manakala Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang juga bekas Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa menerima satu pencalonan daripada KAFA sendiri.

Menurut sumber rapat FAM, ahli gabungan yang mencalonkan Khairy adalah dalam kalangan ahli gabungan yang kurang bersetuju dengan cadangan untuk menaikkan Aseh sebagai pengganti Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Kami dapat lihat sokongan ahli gabungan kepada Khairy dan ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ada ahli gabungan tidak berminat untuk mencalonkan Aseh sebagai presiden.

“Mereka ini mahu Tunku Ismail sebagai presiden tapi Tunku Ismail sebelum ini menyatakan hasrat untuk tidak bertanding.

“Bagaimanapun jumlah pencalonan ini bukan jaminan untuk calon menang kerana hari pemilihan akan menjadi penentu. Apa saja boleh berubah pada hari pemilihan itu nanti,” katanya.

Keempat-empat calon itu perlu membuat pengesahan sama ada menerima pencalonan itu sebelum 13 Februari ini dengan FAM akan mengumumkan secara rasmi calon akhir pada mesyuarat Exco 20 Februari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");