Berita Hari Ini

Publisiti: Elakkan buat tindakan keterlaluan

KUALA LUMPUR – “Generasi muda digesa melibatkan diri dalam aktiviti bermanfaat berbanding melakukan tindakan keterlaluan semata-mata untuk menarik perhatian umum,” kata Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Irmohizam berkata, golongan ini seharusnya menghargai pelbagai peluang yang diberikan kepada mereka dengan melakukan tindakan positif yang memberi manfaat kepada mereka dan masyarakat.

“Mereka harus fikir jika dibandingkan dengan generasi muda di Timur Tengah, peluang yang diberi kepada belia negara ini adalah jauh berbeza.

“Jadi mereka harus mengambil peluang ini dan mengelak melakukan tindakan yang boleh mencemar nama baik mereka,” katanya kepada pemberita selepas sidang kemuncak ‘The 2017 Junior Chamber International Malaysia (JCIM) di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan beberapa remaja yang melakukan aksi keterlaluan dengan memanjat papan tanda ‘Ipoh’ di Jalan Kuala Kangsar yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, generasi muda boleh melakukan pelbagai pendekatan positif termasuk melibatkan diri melontar idea dan pandangan dalam memastikan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) tercapai.

Beliau berkata, penyertaan mereka perlu supaya transformasi itu dapat memenuhi harapan dan kehendak mereka.

“Antara pendekatan yang boleh dilakukan generasi muda ialah termasuk memastikan agenda yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, TN50 itu, dapat melibatkan mereka khususnya belia kelas menengah,” katanya.

Sementara itu di majlis yang sama diadakan penyerahan jawatan oleh bekas Presiden Kebangsaan JCIM, Datuk Terry Ong kepada presiden baharu, Senator Nurul Huda Mohamed Afandi.

Junior Chamber International (JCI) merupakan sebuah pertubuhan yang tidak membuat keuntungan dengan keanggotaannya berada di seluruh dunia yang terdiri daripada warga belia yang aktif berumur 18 hingga 40 tahun yang begitu berdedikasi melahirkan perubahan positif dalam kalangan masyarakat mereka.

Melalui pelbagai projek di lebih 5,000 kalangan masyarakat di lebih 100 negara, anggota JCI akan berusaha mendapatkan penyelesaian kepada masalah tempatan yang memberikan impak di peringkat global.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");