Jenayah

Rampas dua pucuk pistol

Kota Kinabalu: Polis merampas dua pucuk pistol selepas menahan empat individu dipercayai terbabit dengan beberapa kes rompakan bersenjata dan pecah mesin ATM di beberapa daerah di negeri ini dalam serbuan di Kelombong dan Petagas, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Salehhudin Abd Rahman berkata, selain pistol, polis merampas 14 butir peluru, kelopak dan bekas kelongsong peluru dipercayai digunakan suspek yang turut dikenali sebagai Geng Didi.

“Mereka disyaki terbabit dalam tiga kes pecah mesin ATM sekitar Putatan dan Membakut selain rompakan bersenjata di Pasaraya Mini Luyang.

“Berdasarkan risikan, polis menyerbu sebuah kediaman di Taman Mewah, Kolombong pada jam 9 malam tadi (semalam) dan menahan tiga lelaki.

“Turut ditemui sepucuk pistol jenis Styer, sepuluh butir peluru, satu kelopak dan satu bekas kelongsong peluru,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra.

Salehhudin berkata, berdasarkan maklumat, polis menahan seorang lagi lelaki dipercayai anggota kumpulan penjenayah yang sama di Taman Jumbo.

“Hasil siasatan, polis menyerbu sebuah rumah tidak jauh dari lokasi suspek keempat ditahan sebelum menemui sepucuk pistol jenis Revolver, empat butir peluru dan satu kelongsong di di Kampung Muhibbah.

“Selain itu, kami turut menemui dua peti simpanan wang runcit dipercayai milik pasar raya mini di Luyang yang dilaporkan disamun pada 27 Disember lalu,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");