Sukan Hari Ini

Rebut Jawatan Presiden FAM, KJ Perlu Buat Pilihan

Penganalisis sukan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berpendapat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin perlu menerima jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang keenam malah perlu melepaskan salah satu jawatan yang dipegangnya.

“Kalau Khairy Jamaluddin Abu Bakar terima jawatan itu, dia perlu lepas salah satu jawatan yang dipegang,”katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berkaitan pencalonan Menteri Belia dan Sukan itu bagi merebut jawatan Presiden FAM yang keenam pada pemilihan Kongres FAM ke-53, Mac depan.

Malah jelasnya, sukar untuk Khairy menggalas tugas sebagai Presiden FAM andai beliau juga terlibat dengan bidang politik memandangkan kedua-duanya memerlukan komitmen yang tinggi.

“Pada pendapat saya, sebagai seorang anggota Kabinet, Khairy tidak sesuai dipilih sebagai presiden FAM, kita memerlukan presiden yang mampu memberikan sepenuh masa dan komited ketika menjalankan tugas

“Sebagai seorang presiden, beliau perlu memiliki sikap yang tegas dan mampu memberikan idea untuk mempertingkatkan mutu bola sepak negara.

“Jadi, dengan jadual padatnya dengan program politik, boleh ke dia pikul tanggungjawab dengan memegang jawatan presiden FAM dalam masa yang sama,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Terdahulu, Khairy antara empat tokoh yang dicalonkan untuk merebut jawatan presiden badan induk itu sekali gus menyaksikan perebutan empat penjuru membabitkan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat.

Ketika ini difahamkan Khairy mendahului pencalonan dengan selesa sebanyak 11 pencalonan daripada 20 keseluruhan ahli gabungan FAM untuk bertanding manakala Tunku Ismail mendapat lima pencalonan diikuti Aseh serta Annuar masing-masing satu.

Nasihat Kay Kim, sebaiknya Khairy memberi fokus sebagai menteri kerana FAM bukan pentas yang sesuai untuk golongan ahli politik.

“Walaupun syarat bertanding adalah warga Malaysia, tapi jawatan presiden tak sesuai untuk dia. Lebih baik ia diberikan kepada mana-mana individu yang selayaknya,” jelas Kay Kim yang tidak memilih mana-mana nama antara empat tokoh tersebut.

Senarai akhir calon akan diumumkan pada 20 Februari sebelum pemilihan diadakan ketika Kongres Pemilihan FAM kali ke-53.

Nama Khairy dicalonkan oleh Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dan difahamkan tidak ada halangan untuk beliau memegang jawatan itu jika mendapat kebenaran daripada Kabinet.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");