Membawang Hari Ini

Rezza mahu karya sempurna

Mahukan sesuatu yang menarik dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton, penerbit filem televisyen (FTV) Permata Hati, Datuk Sri Raja Rezza Shah mengambil masa hampir empat tahun untuk menyiapkan karya itu.

Menurutnya, beberapa babak perlu dilakukan semula bagi mendapatkan sudut yang menarik.

Malah, Istanbul yang sepatutnya menjadi salah satu lokasi penggambaran terpaksa di tukar atas faktor keselamatan.

“Saya sangat mementingkan kesempurnaan dan kerana itulah walaupun filem ini sudah lama siap, saya akan lihat balik banyak kali.

“Apabila nampak ada yang kurang, saya akan minta buat semula. Syukur semua pelakon memberikan kerjasama yang baik kerana faham dengan perangai dan keinginan saya,” katanya.

Rezza berkata, dia tidak kisah filem itu ambil masa yang lama untuk ditayangkan asalkan dia berpuas hati.

“Selain mahukan karya yang sempurna, saya juga sibuk dengan perniagaan pakaian sehingga perlu mencari masa yang sesuai.

“Sehinggakan ada satu masa saya terlupa mengenai karya ini dan ramai kawan mula bertanya.

“Saya harap orang ramai akan menyokong Permata Hati,” katanya.

Penonton boleh menyaksikan Permata Hati dengan melanggan Astro First Eksklusif (saluran 480). Filem ini mula ditayangkan sejak semalam.

Ia dibintangi Zul Ariffin, Elaine Daly, Elfira Loy, Edika Yusuf, Zoey Rahman, Danny X Factor, Datuk Ziela Jalil, Liza Abdullah serta penampilan pelakon dari Indonesia Wulan Guritno, Teuku Zacky, Amanda Soekasah dan Cahaya Rizky Saputra.

Dalam pada itu, Permata Hati juga dihasilkan dalam bentuk novel hasil karya sepenuhnya Rezza sendiri.

Mengulas pembabitan pelakon Indonesia, Rezza berkata, apa yang cuba ditampilkan adalah untuk menyatukan budaya dua negara.

“Saya tidak mahu membeza-bezakan Malaysia dan Indonesia. Bagi saya kita adalah serumpun.

“Begitu juga dengan pakaian setiap pelakon, saya mahu semua selesa kerana menerusi filem ini saya satukan kita satu Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa,” katanya.

Sinopsis

Permata Hati mengisahkan konflik yang berlaku di antara pasangan Aizuddin dan Sofea serta anak tunggal mereka, Liz.

Kebahagiaan mereka tergugat selepas Aizuddin menerima panggilan daripada teman lama yang mendedahkan dia mempunyai seorang anak lelaki hasil hubungan sulit dengan Sandra.

Hati Sofea hancur apabila mengetahui perkara itu kerana selama ini Aizuddin suami yang setia. Begitu juga dengan Liz yang kecewa dengan perbuatan terkutuk bapanya.

Kehadiran Alexander dalam hidup mereka pada awalnya sukar diterima. Namun kekuatan kasih dan sayang Aizuddin pada Sofea meleraikan segala-galanya.

Namun, kebahagiaan yang diharapkan tidak berpanjangan apabila berlaku satu insiden besar dan dalam masa sama Alexander harus meninggalkan keluarga itu.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");