Membawang Hari Ini

‘Saya tidak pernah berehat’

Barangkali nama pelakon dan pengacara muda Sweet Farhanna, 20, agak sepi kebelakangan ini. Namun bagi si manis yang mencipta nama menerusi drama Hikayat Putera Shazlan serta program kanak-kanak, Chichi dan Chacha ini, dia masih aktif di arena seni tanah air.

Menurut pemilik nama sebenar Farhanna Qismina Supandi, agenda seninya padat dengan projek drama dan pengacaraan tahun lalu.

“Sebenarnya, saya tidak pernah berehat. Majoriti drama, filem dan program TV yang dibuat tahun lalu ditayangkan pada tahun ini.

“Antaranya saya mengacarakan program Planet Bola musim kedua serta Cichi dan Cacha musim ketiga.

“Selepas ini, saya akan terbabit dengan penggambaran Planet Bola untuk musim ketiga untuk TV3.

“Program Cichi dan Cacha musim baru juga akan disiarkan pada Mac ini di TV3. Pada masa sama, banyak lagi tawaran mengacara saya terima termasuk program travelog. Selain itu, saya juga terbabit dalam drama 50 episod untuk TV3,” katanya.

Sweet ditemui pada majlis tayangan filem lakonannya, Aku Haus Darahmu (AHDM) yang berlangsung di Cineleisure, Damansara, baru-baru ini.

Mengulas pembabitannya dalam karya arahan Aidilfitri Mohamed Yunos itu, kata Sweet, dia tertarik dengan kelainan watak yang ditawar kepadanya.

“Karakter Ezza jauh berbeza dengan diri sebenar saya. Ezza gadis yang berani, tegas dan tidak takut berdepan apa saja cabaran.

“Saya juga perlu banyak bermain ekspresi wajah. Cerita ini membabitkan era 80-an ketika saya belum lahir.

“Saya juga kena banyak bertanya pengarah untuk menjiwai watak ini. Diharap filem yang bakal menjengah pawagam pada 2 Februari ini dapat menarik penonton muda,” katanya.

Utamakan pelajaran

Sesibuk mana pun dalam bidang seni, Sweet tetap mengutamakan pelajaran demi jamanan masa depannya.

Apa yang penting, dia perlu bijak membahagikan masa supaya pelajaran dan karier bergerak seiring.

Lulusan Diploma Asas Seni SEGi University, Kota Damansara ini bakal menyambung pengajian peringkat ijazah dalam bidang komunikasi massa tahun ini.

“Saya juga kurang aktif di laman sosial seperti Instagram kerana ingin menumpukan perhatian pada pelajaran. Sebagai artis, saya perlu memiliki ilmu untuk persediaan masa depan.

“Maklumlah, saya perlu bersaing dengan ramai pendatang baru dan pada masa sama perlu memiliki strategi untuk terus bertahan dalam bidang ini,” katanya.

Perkembangan lain, Sweet bakal terbabit dengan filem baru tahun ini. Selain AHDM, dia turut beraksi dalam filem seperti Juvana 2 dan Juvana 3.

“Saya ditawarkan membintangi filem OMID yang akan memulakan penggambaran Mac ini. Saya belum boleh jelaskan secara terperinci kerana ia masih dalam perbincangan.

“Saya akan maklumkan perkembangan filem ini di Twitter, Facebook dan Instagram,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");