Perak Hari Ini

Sektor Pembinaan Pacu Ekonomi Negeri

IPOH: Sektor pembinaan merupakan antara penyumbang terbesar kepada keluaran dalam negara kasar (kdnk) negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, ia dapat dilihat dengan kewujudan lebih banyak pembinaan perumahan dan sebagainya terutama bagi memenuhi keperluan rakyat.

“Kita boleh lihat sektor pembinaan memberikan sumbangan yang tinggi untuk pertumbuhan kdnk negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kontrak Pembinaan diantara Bintang Wirajaya Sdn Bhd dengan Huashi (Malaysia) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan D’Aman Residensi Sdn Bhd, Datuk Azizul Kama Abd Aziz dan Pengurus Besar Kumpulan Huashi China, Wan Xiao Lin.

Dalam pada itu, menerusi pembangunan D’Aman Residensi di Bandar Meru Raya, beliau berkata, ia turut dilihat berpotensi dalam membantu meningkatkan kdnk negeri.

Selain itu, katanya, ia juga selaras dengan sasaran kerajaan negeri dalam menyediakan 10,000 unit rumah mampu milik untuk memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.

“Kita lihat bahawa dengan lebih cepat pembinaan kediaman ini, ia akan menyumbang kepada pertumbuhan menyeluruh khususnya pembangunan bukan sahaja di kawasan Meru Raya, tetapi juga Lembah Kinta dan negeri Perak.

“Selain itu, kita sedia maklum bahawa kawasan Meru Raya merupakan lokasi yang strategik dan terletak di lebuhraya utara selatan yang mana ia dapat dilihat oleh pengguna lebuhraya.

“Oleh demikian, ia mampu menarik lebih ramai pihak khususnya pelabur kerana lokasinya yang sangat strategik,” katanya.

Terdahulu, D’Aman Residensi merupakan pembinaan apartmen mampu milik yang dibangunkan di tanah seluas 11.5 hektar di kawasan pembangunan elit Bandar Meru Raya, Ipoh.

Terdapat dua fasa pembinaan yang mana fasa pertama melibatkan pembinaan apartmen lima tingkat yang telah habis dijual dan kerja-kerja pembinaan telah pun dimulakan.

Bagi fasa kedua pula, ia melibatkan pembinaan apartmen 15 tingkat yang mempunyai 480 unit apartment mampu milik serta kemudahan-kemudahan seperti surau, dewan serbaguna, komuniti berpagar dan berpengawal.

D’Aman Residensi ini juga terletak di lokasi yang strategik iaitu hanya 150 meter daripada Taman Tema Animasi Antarabangsa (MAPS) yang pertama di Asia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");