Membawang Hari Ini

Setulus hati Pak Nil

Putrajaya: “Saya katakan kepada pengetua (Zulkernai Fauzi), ambillah saya tanpa ada sebarang bayaran. Kalau diperlukan saya untuk mendapatkan wang atau penajaan untuk anak-anak ini, ‘gunakanlah saya’, saya sanggup bekerja tanpa bayaran untuk mendapatkan penaja, perhatian media dan masyarakat berhubung kewujudan sekolah ini,” kata Ikon Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Datuk Aznil Nawawi.

Menurutnya, perkara itu diluahkan kerana dia ingin melihat nasib kanak-kanak di sekolah berkenaan terbela dan mendapat pendidikan sempurna.

Katanya, pada awal perjalanan karier sebagai selebriti, penghibur dan pengacara, beliau langsung tidak terfikir mengenai tanggungjawab besar yang perlu dipikul seseorang yang berstatus ikon, selebriti atau personaliti.

“Kini baru saya faham kami sebenarnya mempunyai tanggungjawab lebih besar sebagai milik masyarakat, selain dapat menjadi contoh…yang lebih besar ialah memberi balik kepada mereka yang selama hari ini menyokong perjalanan kerjaya seseorang,” katanya pada sidang media pada Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan Ikon SBJK bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2018 di Kementerian Pendidikan, di sini, semalam.

Penyerahan disempurnakan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

SBJK yang terletak di Lorong Haji Husein, Chow Kit, Kuala Lumpur satu-satunya sekolah dibiayai kerajaan di seluruh dunia bagi membantu kanak-kanak gelandangan, yatim piatu, miskin tegar dan mangsa kepada gejala sosial berusia empat hingga 19 tahun mendapatkan peluang pendidikan.

Lebih istimewa Aznil berkata, sekolah itu yang sebelum ini dikenali sebagai Princes Road School atau Sekolah Jenis Kebangsaan Inggeris Jalan Raja Muda adalah lokasi pertama beliau menimba ilmu selama enam tahun.

“Sekolah itu mempunyai sejarah sangat istimewa dan saya ingin membentuk sejarah baru kepada anak yang belajar di situ.

“Alhamdulillah, kewujudan sekolah ini turut menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melihat sendiri keadaan sekolah itu,” katanya yang hampir 27 tahun terbabit dalam bidang penyiaran dan hiburan.

Aznil berkata, beliau berbesar hati dengan pelantikan itu dan berharap ia dapat memberi sinar baharu kepada kanak-kanak di situ.

“Terima kasih atas kepercayaan ini dan dan kita sama-sama berdoa pelantikan ini dapat memberi satu sinar baharu kepada anak kami di SBKJ dan memberi mereka satu harapan yang mereka bukan anak dilupakan tetapi diutamakan,” katanya.

Sementara itu, Khair berkata, pihaknya berharap pelantikan itu dapat membantu sekolah itu daripada segi keperluan kepakaran, mengumpul dana dan sumbangan.

“Semangat dan sifat tanggungjawab yang ditunjukkan Aznil terhadap pelajar di sekolah berkenaan menyebabkan beliau diterima langsung sebagai ikon, dan kami percaya sokongan beliau akan memajukan sekolah ini,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");