Sukan Hari Ini

Sukan selam skuba hidup baru Zawani

SEORANG wanita yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah teruja menyertai kelas menyelam skuba yang dianjurkan khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU).

Nur Zawani Abdul Wahab, 32 yang berasal dari Alor Setar berkata, sukar untuk menggambarkan perasaannya ketika kali pertama dibiar terapung dalam air ketika sesi “water confident” berlangsung.

“Perasaan saya bercampur baur ketika itu, gembira dan tidak percaya saya berada dalam air walaupun saya lumpuh,” katanya, ketika program My Special Dive Buddy-Handicap Diver,di Pusat Akuatik Darul Aman, Gunung Keriang, semalam.

Menurut Zawani, sebelum disahkan lumpuh pada tahun lalu, dia aktif dalam sukan lasak seperti mendaki gunung dan juga silat sejak dari bangku sekolah.

“Saya tidak pernah terfikir akan terlibat dalam sukan skuba.Malah,ketika seorang rakan mengajak saya menyertai program ini, saya masih was-was.

“Sehingga saya menonton sebuah video di youtube mengenai seorang wanita lumpuh yang menyelam skuba, baru saya yakin untuk turut serta.

“Rakan saya seolah-oleh beri harapan baru untuk saya terima kelemahan diri dan dalam masa yang sama mencari sesuatu yang baru untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Zawani berkata, selain meningkatkan keyakinan diri, aktiviti ini turut membantu menguatkan beberapa otot tubuh.

“Ia sesuai untuk golongan OKU memandangkan saya juga pernah menjalani rawatan hidroterapi di dalam air untuk menguatkan kembali otot yang lemah.

“Ia program yang sangat menarik dan merupakan aktiviti baru yang patut disertai oleh semua golongan OKU,” katanya yang pernah bekerja sebagai penyelaras acara sebelum disahkan lumpuh tahun lalu.

Sementara itu, Pengerusi Malaysian Community Care Foundation (MCCF), Halim Ishak berkata, program berkenaan julung kali adakan untuk menggalakkan OKU menceburi sukan skuba menerusi ‘Discovery Scuba Diving’.

“Peserta yang berdaftar akan mengikuti kursus dan mendapatkan lesen yang disediakan sepenuhnya secara percuma.

“Program ini merupakan anjuran bersama Zero Protocol Community, Seavoice Diver, Iskandari Dive Centre dan Dafina Boat Service yang melibatkan 12 orang jurulatih setakat ini,” katanya.

“Kami sangat berharap ia akan menjadi medium untuk golongan OKU membina keyakinan diri dan mendampingi masyarakat agar mereka tidak rasa tersisih,” katanya.

Menurut Halim, MCCF juga berharap agar program yang telah dirancang bersama golongan OKU ini dapat diteruskan terutamanya Kempen Kesedaran Ancaman Laut yang bertujuan menjaga khazanah bumi serta alam sekitar.

“Kami juga menyeru kepada semua belia dan masyarakat di luar sana untuk terus menyokong program serta aktiviti anjuran MCCF dengan mendaftar sebagai sukarelawan,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");