Panasnya Hari Ini

Tabung Haji Rugi RM64 Juta Dalam PERISAI – Dakwa Rafizi

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa Tabung Haji (TH) mengalami kerugian sebanyak RM64 juta akibat pelaburan di dalam PERISAI Petroleum Teknologi Berhad (PERISAI).

Naib Presiden PKR itu berkata, pada 29 Disember 2016, TH secara senyap-senyap telah melupuskan 10.3 juta saham di dalam sebuah syarikat minyak PERISAI.

Malah, dakwa Rafizi lagi, sehari sebelum itu, TH juga telah menjual 8.8 juta sahamnya di dalam PERISAI.

“Penjualan pada 29 Disember 2016 itu penting kerana akibat dari penjualan tersebut, jumlah saham yang dipegang TH jatuh ke bawah lima peratus lalu menjadikan pegangan TH sebagai pegangan kecil di dalam PERISAI.

“TH mula menjual saham-saham PERISAI secara bertubi-tubi akibat pelbagai masalah kewangan yang berlaku di PERISAI yang menyebabkan nilai pelaburan TH susut dan mengalami kerugian besar,”katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Rafizi berkata, TH mula mengumbul saham-saham itu secara agresif di antara Oktober 2014 ke Disember 2014 sehingga menjadi salah satu pemegang saham terbesar di dalam PERISAI.

“Mengikut anggaran The Edge yang disiarkan pada 25 Oktober 2016, saham-saham PERISAI dikumpul oleh TH pada nilaian purata 83 sen sesaham.

“Pada kemuncak pembelian TH, jumlah terkumpul saham-saham PERISAI yang dipegang TH adalah 79.88 juta saham yang melibatkan penggunaan wang pendeposit TH sebanyak RM66.3 juta.

“Sejak awal tahun 2015, harga saham PERISAI terus menjunam dan pengurusan pelaburan di TH terus memegang saham-saham ini dan hanya ada dua penjualan di antara tarikh saham-saham itu dibeli secara agresif,”kata Rafizi.

Dakwa Rafizi lagi, pada 7 Oktober 2015, TH telah menjual 600,000 saham pada harga sekitar 25 sen sesaham yang mengakibatkan TH rugi yang dianggarkan bernilai RM348,000.

Kemudian, Rafizi berkata, pada 4 Oktober 2016, TH menjual sebanyak 1.75 juta saham pada harga sekitar 8.5 sen sesaham dengan nilai kerugian dianggarkan RM1.3 juta.

“Baki saham-saham PERISAI yang masih dipegang TH selepas 1 Januari 2016 yang dianggarkan sebanyak 60 juta saham mungkin telah dilupuskan secara diam-diam tanpa perlu dilaporkan kepada Bursa Kuala Lumpur.

“Pada anggaran harga lima sen sesaham iaitu kerugian 78 sen sesaham, kerugian yang dilaporkan akibat dari baki saham-saham yang telah ditanggung oleh Tabung Haji adalah RM47 juta.

“Maka, jumlah kerugian yang telah ditanggung oleh pendeposit TH atas pelaburan ini sahaja dianggarkan (berdasarkan harga saham semasa) mencecah RM64 juta (dari pelaburan asal sebanyak RM66.3 juta.

“Wang RM64 juta ini adalah milik pendeposit yang sewajarnya digunakan untuk mengurangkan kos menunaikan ibadah haji atau pun dikembalikan kepada pendeposit dalam bentuk dividen yang lebih tinggi,”kata Rafizi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");