PEMBIKINAN xXx pada 2002 mendapat sambutan hebat peminat filem aksi. Bagaimanapun untuk sekuel filem berkenaan yang diterbitkan pada 2005, beberapa kontroversi telah berlaku sehinggakan Vin Diesel menarik diri daripada terlibat di dalam filem tersebut.
Lebih malang, sekuel filem tersebut juga tidak mendapat sambutan hangat seperti filem sebelumnya.
Bagaimanapun selepas beberapa tahun, Diesel akhirnya bersetuju untuk kembali menyertai xXx dan terbitlah judul xXx: Return of Xander Cage (sesetengah negara menggunakan judul xXx: Reactivated).
Sejujurnya, penulis tidak pernah menonton dua filem tersebut sebelum ini dan antara sebab utama penulis mahu menontonnya kerana penglibatan pelakon hebat dari Hollywood, Bollywood dan juga Asia.
Lebih menarik apabila pemain bola sepak terkenal, Neymar Jr turut terlibat dengan produksi filem ini. Antara lain yang terlibat dalam filem arahan DJ Caruso ini adalah Diesel, Samuel L Jackson, Tony Jaa, Donnie Yen, Deepika Padukone, Nina Dobrev, Ruby Rose dan Toni Collette.
Rasa teruja telah disuntik oleh Caruso yang sebelum ini terkenal dengan filem Eagle Eye menerusi awal minit pembukaan lagi.
Lebih teruja apabila melihat Diesel bermain luncur salji (ski) di kawasan bukit bukau dan rollerblade di jalan raya sambil mengelak pelbagai kenderaan yang datang.
Adrenalin penulis untuk menonton filem ini semakin meningkat apabila Tony Jaa, Padukone, Donnie Yen juga muncul tidak lama selepas itu menerusi aksi-aksi mereka yang cukup bertenaga.
Penulis juga melihat filem ini tidak jauh beza dengan beberapa filem aksi Hollywood terkenal yang digabungkan dalam filem ini.
Pendek kata, sebaik sesetengah babak ditayangkan, ingatan penulis terus terarah pada filem terdahulu.
Dari segi aksi dan lakonan, penulis boleh beri empat bintang. Namun dari segi jalan cerita agak mengecewakan kerana trilogi triple X ini belum mempunyai kekuatan yang tersendiri.
Biarpun terhibur, mungkin pihak produksi perlu melakukan sesuatu untuk memastikan francais triple X ini bergerak dengan kualiti tersendiri.
Bagaimanapun ia hanya pandangan penulis. Sekiranya anda mahu mengetahui keseluruhan jalan cerita dan apa yang dihadapi Xander Cage kali ini, jangan lupa saksikan filem ini di pawagam.
-Sinar Harian