Jenayah

Terdesak kalah judi

Sungai Petani: Terdesak selepas dipercayai melesapkan wang berjumlah lebih RM120,000 akibat kalah judi menjadi punca seorang pengurus firma kawalan keselamatan nekad merompak sebuah bank di Taman Ria Jaya, di sini, kelmarin.

Ketua Polis negeri, Datuk Asri Yusoff berkata, majikan suspek membuat laporan jam 5 petang, kelmarin selepas mendapati hasil wang kutipan daripada beberapa syarikat lebih RM120,000 yang dibuat suspek sebelum ini tidak dimasukkan ke dalam bank dan data maklumat syarikat.

Katanya, hasil soal siasat terhadap suspek berusia 50 tahun itu, dia mengaku menggunakan semua wang terbabit untuk berjudi di Thailand dan akibat terdesak kerana menggunakan semua wang itu, dia bertindak melakukan rompakan bersenjata.

“Suspek yang terdesak mengambil jalan mudah menyamun sebuah bank di kawasan berkenaan (Taman Ria Jaya) menggunakan senjata api milik firma itu bagi menggantikan wang yang dilesapkannya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini, semalam.

Asri berkata, susulan laporan dibuat majikan suspek, polis melakukan siasatan di rumah lelaki itu di Sungai Lalang, Bedong.

“Hasil pemeriksaan di rumah suspek, kami menemui selaras senapang angin buatan sendiri, beberapa kotak peluru hidup dan komponen senjata api.

“Selain itu, turut ditemui dua beg plastik berisi lima tabung pistol angin dan peluru bebola besi. Disebabkan suspek bekas tentera, kami percaya dia pakar mengubah suai senjata berdasarkan senjata buatan sendiri yang ditemukan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa lesen dan Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru.

“Kehilangan wang lebih RM120,000 disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah. Suspek direman hingga 1 Februari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Asri turut melawat pengawal keselamatan yang cedera dalam kejadian itu, Mohd Jefri Ismail, 51, di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");