Jenayah

Tiga sahabat kerugian RM67,000

DUNGUN: Tiga sahabat berputih mata apabila kerugian lebih RM67,000 akibat diperdaya seorang lelaki yang mendakwa dirinya penjual kenderaan terpakai.

Mangsa, Aslan Abd Rahman, 28, berkata, dia mengalami kerugian sebanyak RM40,000 setelah memasukkan wang ke dalam akaun lelaki berusia 35 tahun itu untuk urusan jual beli sebuah lori dan kereta.

Menurutnya, dia membuat pembayaran sejak 2014 tetapi sehingga kini wangnya lesap begitu sahaja.

“Pada 2 Disember 2014, saya menerima panggilan dari seorang lelaki bertanya sama ada saya ingin membeli lori dan kereta atau tidak.

“Saya bersetuju dan memasukkan wang berjumlah RM21,000 untuk deposit lori dan kereta. Selepas itu RM2,500 untuk urusan saman trafik dan RM16,500 untuk urusan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta hal berkaitan,” katanya.

Aslan berkata, dua tahun berlalu namun urusan jual beli kenderaan dimaksudkan sebenarnya tidak wujud.

“Saya sudah membuat laporan polis di IPD Dungun pada 12 Januari 2017 yang lalu dan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap lelaki yang berasal dari Kampung Kolam Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu,” katanya.

Rakannya, Che Ku Muhd Alif Che Wan Hussin, 28, turut mendakwa dirinya ditipu apabila wang sebanyak RM12,000 yang diserahkan kepada lelaki sama tidak dikembalikan.

“Pada 9 November 2016 yang lalu, saya serahkan RM12,000 kepada lelaki yang bernombor kad pengenalan 821124-11-*1*5 bertujuan untuk proses pinjaman kenderaan dari bank.

“Kenderaan dimaksudkan ialah sebuah jentera berat jenis excavator dan wang tersebut untuk urusan insurans serta Puspakom,” katanya.

Katanya, sehingga kini jentera berat yang dimaksudkan tidak diterima dan dia tidak berhasrat untuk meneruskan lagi urusan jual beli.

“Saya mahu dia memulangkan semula wang saya tetapi sehingga kini tiada maklum balas positif dari lelaki itu,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Ahmad Sahil Mohd, 32, berkata, wang sebanyak RM15,000 miliknya lesap sebaik sahaja diserahkan kepada lelaki licik berkenaan dan sehingga sekarang kenderaan dijanjikan tidak diperoleh.

“Pada 5 Februari 2009 saya serahkan sebanyak RM10,000 kepada lelaki itu untuk urusan pembelian sebuah kenderaan jenis 4×4 dan lima hari selepas itu di sebuah kedai makan Sura Hujung saya serahkan sebanyak RM,5000 lagi kepadanya.

“Sudah lapan tahun berlalu tetapi sehingga sekarang urusan yang dijanjikan dipercayai palsu. Saya turut membuat laporan bersama dua lagi rakan di balai polis Dungun pada 12 Januari lalu,” katanya.

Katanya, lelaki itu bukan sahaja menipu mereka malah dipercayai sudah menipu lebih ramai lagi mangsa di laman sosial Facebook.

“Sikapnya yang agak licik menyukarkan pihak polis untuk membuat tangkapan tetapi kami berharap pihak berkuasa memandang serius kes ini supaya tiada lagi yang menjadi mangsa penipuan ini,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");