Berita Hari Ini

‘Tilam Itu Sepatutnya Dihantar Ke Pusat Pemindahan Banjir’

SABAK BERNAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tilam-tilam yang dihantar oleh Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) sepatutnya dihantar ke pusat pemindahan banjir yang dibuka di daerah Sabak Bernam.

Azmin berkata beliau enggan mengulas lanjut berhubung tindakan Jamal sebaliknya ingin memberi tumpuan terhadap pembangunan di negeri ini.

“Seperti hari ini, sepatutnya tilam-tilam itu dihantar ke pusat pemindahan banjir, bukannya diletakkan di depan SUK (Pejabat Setiausaha Kerajaan) Negeri Selangor .

“Tak apalah, saya malas nak komen… saya serah kepada rakyat untuk penilaian,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Lawatannya di Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Kampung Parit Baru, Sungai Air Tawar, di sini.

Mohamed Azmin menegaskan, tanggungjawab beliau adalah untuk membangunkan negeri ini dan memberikan kemakmuran kepada rakyat.

“Saya tidak ada masa untuk melayan karenah politik cetek seperti ini kerana kepentingan dan kesejahteraan rakyat itu perlu diutamakan,” katanya.

Ditanya berhubung ketegasan kerajaan negeri dalam isu judi dan rumah urut, Mohamed Azmin berkata, kerajaan negeri tidak akan membenarkan sebarang kegiatan atau aktiviti haram seperti itu berlaku di Selangor.

“Pihak Berkuasa Tempatan telah memainkan peranan yang cukup berkesan untuk memastikan aktiviti ini tidak berkembang, malah sekiranya dikesan tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Terdahulu, Jamal sekali lagi ‘menyerang’ Pejabat SUK Selangor dengan membawa 10 set katil sebagai tanda protes terhadap isu rumah urut yang dibawanya sebelum ini.

Set katil bujang berserta bantal dan cadar putih itu disusun di hadapan pintu pagar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kira-kira jam 10.50 pagi tadi.

Dakwa Jamal, setakat siasatan yang dilakukan oleh rakan-rakan NGO, sebanyak 4,000 rumah urut yang dikenal pasti beroperasi di rumah-rumah kedai di seluruh Selangor.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");