Berita Hari Ini

Tuduhan tidak selesaikan masalah

PARIT BUNTAR – Tindakan menyalahkan parti pembangkang menghasut petani membuat bantahan terhadap kadar pemutuan padi tidak menyelesaikan masalah petani di daerah Kerian.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) perlu membuat siasatan terperinci melibatkan semua aspek berkaitan penanaman padi di Kerian.

“Jangan salahkan parti pembangkang menghasut petani kerana bantahan yang petani lakukan atas inisiatif sendiri berikutan kadar pemutuan padi yang melampau pada musim menuai kali ini.

“Tindakan menyalahkan sikap petani dengan menyatakan kekurangan daya usaha mereka punca padi dihasilkan tidak mencapai kualiti ditetapkan juga bersifat dangkal,” katanya semasa mengadakan tinjauan isu kadar pemutuan padi terlalu tinggi bersama beberapa petani di Sungai Labu Atas, di sini semalam.

Mujahid berkata, MOA juga perlu menyiasat penggunaan alat moisture meter yang mengukur kandungan air dalam sampel padi oleh pihak pengilang swasta.

“Adakah pihak pengilang mempamerkan sijil kaliberasi alat moisture meter ini kepada pesawah terlebih dahulu sebelum menguatkuasakan penggunaannya?

“Kalibrasi alatan penting bagi menjamin bacaan kadar kandungan lembapan dalam padi adalah tepat. Justeru, pihak kementerian digesa menyiasat kaedah implementasi penggunaan alat itu di setiap kilang padi di daerah Kerian bagi mengelakkan berlaku penyelewengan,” katanya.

Mujahid berkata, jika ada ralat atau bacaan kelembapan lebih tinggi dari bacaan sebenar, petani akan hadapi potongan pemutuan lebih tinggi daripada sepatutnya.

Menurutnya, jika pun benar padi dihasilkan tidak mencapai kualiti ditetapkan, aspek lain perlu diambil kira.

“Mungkin padi tidak mencapai kualiti kerana penggunaan racun dan baja tidak sesuai, semua ini kena dilihat dan disemak semula.

“Jika petani menerima subsidi baja dan racun perlu disiasat, kenapa baja dan racun subsidi ini gagal meningkatkan kualiti padi dihasilkan?,” katanya.

Katanya, pihak kementerian juga perlu mengambil kira beban petani yang perlu membayar untuk kos mesin tuai dan kos tanam semula melibatkan kos bajak, semaian, penanaman dan penjagaan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");