LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger memuji ketahanan mental dan kekuatan dipamerkan Danny Welbeck selepas berjaya menjaringkan dua gol pada penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama sejak mengalami kecederaan lutut serius pada Mei tahun lalu.
Sementara itu pada perlawanan pusingan tiga Piala FA itu, Arsenal mencatat kemenangan selesa 5-0 menentang Southampton.
Manakala selepas dua jaringan pada babak pertama di St Mary’s, Welbeck kemudiannya membantu bekas bintang Saints, Theo Walcott, melengkapkan hatrik pada babak kedua untuk kemenangan selesa pusingan keempat buat Gunners mengatasi pencabar Liga Perdana itu.
Wenger dilihat agak terkejut dengan persembahan bekas bintang Manchester United itu yang membuat kemunculan pertama sejak seri 2-2 berdepan Manchester City pada Mei tahun lalu.
“Saya tidak menjangkakan dia akan berada pada tahap itu,” kata pengurus veteran dari Perancis itu.
“Saya tahu dia bekerja sangat keras tetapi anda tidak tahu betapa ia membawa banyak kesan apabila ditukar ke dalam perlawanan kompetitif.
“Jadi adalah sesuatu yang hebat untuk melihat dia masih belum hilang sentuhan atau penyudah serta menunjukkan anda boleh menyalurkan rasa kecewa tidak bermain kepada sesuatu yang amat berkesan, dia pemain yang istimewa.”
Tambah Wenger: “Anda sentiasa ada dua ketakutan, pertama ialah dia mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan (kembali) dan yang kedua, pemain itu takut untuk melakukan sentuhan. Jadi apabila dia berlari dan bertarung dengan pertahanan, itu adalah saat yang amat penting buat saya.”
Kecederaan lutut itu adalah yang kedua buat Welbeck, pada lutut yang sama sejak menyertai Arsenal pada 2014 dan Wenger gembira pemain itu tidak menunjukkan sebarang kesan kesakitan.
“Dia bekerja keras,” kata Wenger mengenai pemain 26 tahun itu.
“Dia menempuh pengalaman yang sangat mengecewakan ketika cedera dan perlu kembali memulihkan lututnya, apabila anda bergelar pemain bola sepak profesional, ia amat sukar.
Bagaimanapun selepas kekecewaan pertama dia bekerja lebih keras.
“Dia amat dihormati di kelab ini kerana menunjukkan dedikasi yang tinggi dan tidak pernah merungut. Dia bekerja keras dan setiap orang gembira dengannya,” memetik laporan AFP.