Membawang Hari Ini

10 filem muzikal terbaik

Genre filem muzikal mula menerima sambutan di pawagam sekitar 1930-an. Sehingga hari ini, banyak karya diciptakan namun bukan semuanya berjaya menyentuh jiwa penonton.

Bagaimanapun, ada juga filem muzikal yang dianggap luar biasa dan memenangi pelbagai anugerah berprestij.

Berikut senarai antara 10 filem muzikal terbaik yang mencapai kejayaan besar di Hollywood.

Singin’ in the Rain (1952)

Komedi muzikal lakonan Gene Kelly, Donald O’Connor dan Debbie Reynolds ini berkisarkan industri seni di Hollywood pada lewat 1920-an.

Walaupun sambutan awal filem itu dianggap kurang cemerlang, ia diangkat sebagai karya muzikal terbaik dalam sejarah oleh studio Metro Goldwyn Mayer (MGM).

Dalam filem ini, penyanyi, penari dan juruaksi ngeri terkenal Don Lockwood sukar bertoleransi dengan sikap rakan seperjuangan, Lina Lamont.

Biarpun desas-desus mengatakan mereka bercinta demi menaikkan populariti, Lamont sangat yakin Lockwood mencintainya.

West Side Story (1961)

Drama romantis ini diadaptasikan daripada pementasan muzikal West Side Story yang kisahnya turut diinspirasikan daripada sketsa Romeo dan Juliet ciptaan William Shakespeare.

Filem arahan Robert Wise dan Jerome Robbins ini menerima komen positif penonton serta panel pengkritik.

Dibintangi Natalie Wood, Richard Beymer, Russ Tamblyn, Rita Moreno dan George Chakiris, filem ini memenangi 10 daripada 11 pencalonan Anugerah Academy. Ia sekali gus mengangkat West Side Story sebagai filem muzikal yang menang paling banyak trofi.

Mary Poppins (1964)

Karya fantasi ini diterbitkan sendiri oleh animator, pelakon suara dan penerbit filem Amerika Syarikat, Walt Disney.

Ia berdasarkan siri buku Marry Poppins dan dianggap sebagai kejayaan terbesar Disney berikutan menjadi satu-satunya karya yang memenangi Filem Terbaik sepanjang kehidupan beliau.

Selain Filem Terbaik, filem lakonan Julie Andrews sebagai Mary Poppins ini memenagi lima daripada 13 pencalonan Oscar.

Pada 2013, Mary Poppins disenaraikan dalam perpustakaan Pendaftar Filem Nasional Amerika Syarikat kerana dianggap sebagai karya yang padat dengan nilai sejarah dan budaya.

The Sound of Music (1965)

Filem ini mencapai kejayaan besar kerana jalan ceritanya bukan sahaja menyentuh hati penonton, tetapi ia turut dibintangi pelakon kanak-kanak dan memaparkan keindahan kota Salzburg, Austria.

Turut menampilkan pelakon Julie Andrews, filem ini memecah rekod panggung di 25 negara sehingga memperoleh pendapatan mencecah RM1 bilion.

Dengan popularitinya, The Sound of Music memenangi lima Oscar termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik selain tersenarai sebagai filem muzikal keempat terbaik sepanjang zaman.

Cabaret (1972)

Karya arahan Bob Fosse ini mengetengahkan bisnes sebuah kelab hiburan

di Berlin, Jerman yang semakin merundum.

Dibintangi Liza Minnelli, Cabaret berlatarkan era pemerintahan Republik Weimar di bawah penjajahan Nazi.

Beberapa babak filem ini diangkat daripada pementasan muzikal Cabaret pada 1966 yang diilhamkan oleh Kander dan Ebb.

Walaupun Cabaret berjaya menggondol tujuh Oscar, ia gagal memenangi kategori Filem Terbaik.

Grease (1978)

Grease mengisahkan percintaan sepasang kekasih di sebuah sekolah menengah. Walaupun ia berdasarkan pementasan muzikal Grease pada 1971, kisah latar filem arahan Randal Kleiser ini berlaku pada era 1950-an.

Dibintangi John Travolta, Olivia Newton-John, Stockard Channing dan Jeff Conaway, filem romantis ini menerima sambutan hangat dengan banyak lagu merdu seperti Grease, Hopelessly Devoted To You dan You’re The One That I Want.

Malah, album runut bunyi Grease menjadi album kedua paling laris di Amerika Syarikat pada 1978.

Empat tahun kemudian, filem kedua berjudul Grease 2 diterbitkan dengan memperkenalkan Maxwell Caulfield dan Michelle Pfeiffer.

Evita (1996)

Menjadi satu-satunya filem Amerika Syarikat ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Pyongyang, Korea Utara, Evita memperoleh hasil jualan tiket RM626.08 juta di peringkat antarabangsa.

Ia mengisahkan perjalanan kehidupan dan pembabitan politik Eva Peron di Argentina sehingga kematiannya pada usia muda 33 tahun.

Filem ini diarahkan Alan Parker dan menampilkan penyanyi tersohor Madonna sebagai Evita serta Antonio Banderas. Ia memenangi Lagu Original Terbaik menerusi You Must Love Me nyanyian Madonna serta tiga trofi Anugerah Golden Globe.

Chicago (2002)

Seperti filem di atas, karya arahan Rob Marshall ini diadaptasi daripada muzikal ciptaan John Kander dan Fred Ebb mengenai dua pembunuh bersiri wanita terkenal pada 1920-an.

Susulan itu, Chicago memenangi enam Oscar termasuk Filem Terbaik serta beberapa anugerah berprestij seperti Golden Globes dan BAFTA.

Menampilkan pelakon Renee Zellweger, Catherine Zeta-Jones, Richard Gere, Queen Latifah dan John C Reilly, Chicago menjadi filem muzikal hebat yang memenangi Filem Terbaik Anugerah Oscar.

Les Miserables (2012)

Filem drama muzikal terbitan Amerika-British ini mengetengahkan kehidupan bekas banduan bernama Jean Valjean yang kemudian dilantik sebagai datuk bandar.

Berlatarkan kota Perancis pada abad ke-19, antara kejayaan filem ini disebabkan menampilkan barisan pelakon terkenal Hugh Jackman, Russell Crowe, Anne Hathaway dan Amanda Seyfried.

Les Miserables membawa pulang tiga trofi Anugerah Golden Globe dan turut memenangi empat kategori anugerah British Academy Film Awards (BAFTA).

La La Land (2016)

Berbeza dengan filem muzikal lain, La La Land berlatarkan dunia moden masa kini dan mengisahkan percintaan sepasang kekasih yang pada masa sama berusaha mencapai impian masing-masing dalam dunia seni.

Karya lakonan Ryan Gosling, Emma Stone dan John Legend ini menerima pujian terbaik daripada pengkritik kerana nilai artistik serta muzikalnya begitu hebat.

Filem ini mencipta rekod baru apabila memenangi jumlah anugerah terbanyak iaitu sebanyak tujuh trofi pada Anugerah Golden Globes ke-74.

Malah, filem arahan Damien Chazelle ini turut dicalonkan dalam 14 kategori dalam Anugerah Oscar akan datang.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");