Sukan Hari Ini

12 atlet tersingkir

KUALA LUMPUR: Pengarah Program Podium Tim Newenham mengambil tindakan drastik menggugurkan 12 atlet termasuk lapan atlet paralimpik negara kerana gagal memenuhi kriteria ditetapkan.

Memetik sumber Harian Metro, Newenham dalam sidang media semalam turut mengumumkan 32 muka baru diserapkan ke dalam program itu selepas melalui beberapa proses penilaian dan menolak 63 atlet yang dicadang persatuan sukan masing-masing.

Bagaimanapun daripada senarai itu, nama pemegang rekod 100 meter negara, Khairul Hafiz Jantan tidak disenaraikan biarpun catatannya 10.18 saat berada di kedudukan keempat ranking bawah 20 tahun.

“Khairul sekurang-kurangnya perlu berada dalam kelompok enam terbaik ranking senior pada penamat musim untuk melepasi syarat ditetapkan. Tapi dia berada ranking ke-122 untuk senior.

“Disebabkan itu dia tidak memenuhi kriteria selain belum meraih sebarang pingat Sukan SEA.

“Bukan hanya Khairul, beberapa atlet juga digugurkan daripada program kerana gagal memenuhi syarat ditetapkan namun ingin saya jelaskan mereka boleh diserap kembali sekiranya menunjukkan prestasi konsisten,” katanya.

Antara atlet digugurkan daripada program ialah Atiq Bazil Bakri dari sukan memanah dan empat atlet sukan menembak Nur Suryani Taibi, Muhammad Ezuan Nasir Khan, Nor Ayuni Farhana Abdul Halim dan Muslifah Zulkifli.

Pada sidang media yang berlangsung di Institut Sukan Negara (ISN) semalam, Newenham turut mengumumkan Delia Arnold dan Zulhelmi Md Pisol memilih untuk bersara dan Siti Nooriasah Mohamad Ariffin menolak tawaran program.

Program Podium dilancarkan pada 2 Februari tahun lalu dengan sejumlah 97 atlet merangkumi 21 jenis sukan.

Pencapaian cemerlang Sukan Olimpik dan Paralimpik Rio 2016 menjadi penanda aras kejayaan Program Podium.

Selepas setahun beroperasi, bilangan atlet yang terpilih untuk program ini meningkat kepada 117 berbanding 97 tahun lalu.

Atlet yang terpilih perlu melalui beberapa fasa pemilihan. Biarpun tidak memenangi pingat di kejohanan utama, tetapi mempunyai kecenderungan untuk meraih pingat pada masa akan datang membolehkan mereka turut disenaraikan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");