
BAGAN SERAI: Sistem kutipan tol secara eletronik akan dilaksanakan sepenuhnya melibatkan 94 plaza tol kendalian Plus Malaysia Berhad (PLUS) akan bermula pada jam 12 tengah hari pada 26 April ini.
Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail berkata, ia bermula dari plaza tol Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga ke Johor Bahru.
“Pelaksanaan ini turut melibatkan semua transaksi tol di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Utara -Selatan Hubungan Tengah (ELITE),” katanya dalam satu sidang media pada taklimat pelaksanaan sistem ETC di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Gunung Semanggol di sini hari ini.
Turut berlangsung pelancaran kempen pelaksanaan sistem kutipan tol secara elektronik sepenuhnya di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Gunung Semanggol (arah selatan) di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia,Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.
Jelas Azman lagi semua transaksi tol di 71 buah plaza tol di Lebuhraya Utara Selatan di antara tol Juru dan Skudai akan dikendalikan 100 peratus secara eletronik.
“Langkah penyeragaman sistem ini bagi mengurangkan kesesakan di lorong pembayaran dan menjimatkan proses transaksi,” katanya.
Ujarnya lagi, PLUS akan mempergiatkan kempen pelaksanaan mengenai sistem pembayaran itu di setiap kawasan plaza tol terpilih seperti di Selangor dan Skudai mengikut tarikh yang ditetapkan bermula hari ini.
Beliau turut mengakui pencapaian terhadap bayaran jenis elektronik adalah cukup tinggi iaitu sekitar 88 peratus sepanjang tempoh penggunaannya secara berperingkat pada tahun 2008.
“Lorong tambah nilai juga akan akan di dibuka selama 24 jam bagi memberi kemudahan kepada para pengguna.
“Malah ia sama sekali tidak mengurangkan jumlah pekerja malah perkerja yang ditugaskan di bahagian lorong tol akan diberikan latihan semula dan berpindah ke bahagian lain,” katanya.
Ia termasuk transaksi tol di Jambatan Pulau Pinang,Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE),ELITE, NKVE,Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2),Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan Lebuhraya Linkedua.
Pelaksanaan sistem itu memerlukan pengguna membayar dengan menggunakan kad PLUSMiles,kad Touch ‘n Go ataupun SmartTAG berikutan tiada lagi transaksi bayaran tunai.
Sementara itu,Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia,Datuk Azmi Ghazali berkata, kaedah ini merupakan langkah baik yang turut membantu mengurangkan kesesakan, tekanan dan juga pencemaran udara.