Isu Panas

Ahli Politik Tidak Harus Urus GLC – Tunku Aziz

KUALA LUMPUR: Dalam usaha mencegah rasuah, ahli politik tidak harus dilantik mengurus syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kata Pengerusi Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Malaysia Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Beliau berkata ahli politik yang memegang jawatan dalam GLC berkemungkinan berdepan dengan percanggahan kepentingan yang membawa kepada penyalahgunaan kuasa dan tanggungjawab.

Dalam temu bual dengan Bernama, beliau berkata: “Banyak pelantikan dibuat atas sebab politik. Jika anda dilantik memegang jawatan dengan kuasa mutlak, ada keputusan yang anda harus buat setiap hari, atau setiap minggu, bulan dan lain-lain.

“Dan dalam membuat keputusan ini, akan terdapat beberapa permintaan terhadap anda atas dasar hubungan, saudara mara, kawan-kawan dan kroni,” katanya.

Tunku Abdul Aziz berkata trend menyalah guna kuasa ini atas sebab konflik kepentingan telah lama berlaku dan boleh dicegah jika pelantikan untuk jawatan penting dalam sesebuah GLC dilakukan dengan “pemilihan dan tapisan yang betul”.

Tunku Abdul Aziz berkata proses pemilihan harus termasuk meneliti latar belakang dan rekod perkhidmatan calon.

Katanya, akan sentiasa ada orang yang mahukan layanan istimewa, untuk mendapat kelebihan berbanding pesaing mereka.

“Mereka tidak peduli dengan apa jua cara pun (asalkan mereka dapat pekerjaan itu)…di sinilah bermulanya amalan rasuah itu,” katanya.

Tunku Abdul Aziz berkata prosedur dan teknik pengambilan yang betul boleh membantu mencapai ketelusan dan akauntabiliti, sesuatu yang amat penting untuk pengurusan atasan.

“Kita boleh jadikan rasuah itu suatu urusan yang tidak menguntungkan dengan menjadikannya lebih susah untuk seseorang itu mendapat hasilnya,” kata Tunku Abdul Aziz.

Beliau percaya yang amalan rasuah berlaku di peringkat operasi.

“Menteri-menteri tidak boleh menandatangani atau memberikan kontrak tetapi pengarah dalam jabatan-jabatan tertentu boleh berbuat demikian. Di sinilah penyalahgunaan kuasa berlaku,” katanya.

“Jika anda tiada kuasa, anda tidak boleh menyalahgunakannya. Kakitangan awam mempunyai lebih banyak kuasa berbanding pemimpin politik mereka dan menteri-menteri (dalam memberikan kontrak),” katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa SPRM memberkas lebih banyak ‘jerung’ kini berbanding sebelum pelantikan Datuk Dzulkifli Ahmad sebagai Ketua Pesuruhjaya baharu pada Julai tahun lepas.

Tunku Abdul Aziz berkata SPRM merupakan sebuah pasukan profesional yang amat berdedikasi dengan memberi tumpuan kepada punca penyebab rasuah dan memberkas pesalahnya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");