Membawang Hari Ini

Amirul kian ligat

Baru setahun bergelar pelakon, Amirul Faqeem Zukepre, 27, mengakui rezekinya dalam bidang seni lakon makin murah.

Walaupun masih baru, produser dan pengarah meletakkan kepercayaan padanya.

Dia tidak menyangka penyertaannya dalam pencarian bakat Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL 2016), membawa tuah dan menyasarkan masa selama dua tahun untuk membina nama.

Andai percaturannya berjaya, Amirul akan meneruskan kerjaya lakonan tetapi kalau sebaliknya, dia akan undur diri dan mencari kerja tetap menggunakan kelayakan akademiknya.

“Saya masih ada setahun lagi untuk mengukuhkan kerjaya. Andai dalam tempoh itu saya tidak berjaya membina asas kukuh sebagai pelakon, tidak ada gunanya saya terus bazirkan masa untuk bertahan dan mencari peluang.

“Bagaimanapun, setahun bergelar pelakon, saya semakin selesa dan hampir berjaya menyesuaikan diri dengan tuntutan kerja yang tidak kira masa dan lokasi,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Pelakon Kelip Kelip dan Mariam Arissa itu bersyukur makin banyak tawaran yang datang dan setiap peluang itu diterima dengan hati terbuka. Paling membuatkan dirinya terharu apabila kali pertama diberi kepercayaan menjadi tunjang buat drama Love You Mr. Arang berganding dengan Hana Aqeela.

Memegang watak Fariz, jejaka kampung berkulit gelap dia bersetuju menjadi suami kontrak Irma selama tiga bulan dan memberi syarat Irma mengikutnya tinggal di kampung. Beberapa permintaan melampau Fariz bertujuan menginsafkan Irma, dituruti Irma.

Sebagai pelakon yang baru bertapak, sudah pasti Amirul berharap drama 20 episod yang disiarkan TV3 mulai November tahun lalu menjadi batu loncatan untuk lebih dikenali dan membuka lebih banyak ruang bagi mengetengahkan bakatnya.

Malah jelasnya pengalaman yang pastinya tidak dapat dilupakan ketika menjalani penggambaran drama itu ialah ketika ‘disembur’ oleh pengarahnya, Along Kamaluddin.

“Kalau mahu katakan malu, memang malu tetapi saya tidak ambil hati atau terasa dengan kata-kata Along. Kalau saya di tempat dia pun, saya pasti marah kerana pelakon tidak dapat merealisasikan apa yang diharapkan.

“Dia antara ‘guru’ yang garang tetapi bijak membentuk saya yang masih baru. Saya banyak belajar dengannya dan berterima kasih kerana Along tetap memberi peluang kepada pendatang baru yang kosong ilmu lakonan.

“Saya tidak mempunyai sebarang asas dalam lakonan. Lokasi penggambaran adalah bilik darjah saya sedangkan pelakon senior, pengarah serta kru produksi lain menjadi guru seni lakon saya,” katanya.

Antara genre serius dan komedi, anak jati Klang, Selangor itu akui setiap genre ada ilmu baru yang dapat dipelajari dan tertarik untuk meneroka lebih luas dunia drama komedi.

Katanya, dia bukanlah kaki lawak dan karakter itu berlawanan dengan sifatnya tetapi baginya ia bukan satu isu besar kerana pelakon harus tahu serba sedikit mengenai komedi dan cara mencuit hati penonton dengan mimik muka, pergerakan tubuh seiring dengan dialog diungkapkan.

“Secara umumnya, berlakon membabitkan bahasa tubuh, mimik muka dan emosi tetapi semua itu akan berubah apabila kita berada dalam genre berbeza.

“Mahu kata saya ini terlalu serius, kadangkala saya boleh buat orang ketawa juga tetapi tidaklah sampai ke tahap seperti pelawak yang umpama petik jari saja boleh buat orang ketawa.

“Tetapi genre komedi seronok untuk diterokai. Lawak saya yang sekecil hama itu mungkin boleh dikembangkan apabila berlakon dalam drama mahupun telefilem komedi,” katanya.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat Universiti Selangor (UNISEL) serta pernah bekerja sebagai pegawai perhubungan awam syarikat swasta, Amirul tidak berasa rugi untuk mencuba bidang lakonan terlebih dulu sebelum mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusannya.

Tambahnya kelulusan itu adalah sandaran andai pilihan menjadi pelakon itu tidak berjaya membawanya ke tahap yang lebih tinggi. Menyedari keadaan ekonomi yang tidak menentu, dia tetap percaya rezeki selalu ada.

“Ramai anak seni yang mempunyai kelulusan bidang lain tetapi akhirnya memilih untuk menjadikan lakonan mahupun nyanyian sebagai kerjaya. Semuanya pasti mempunyai perancangan tersendiri.

“Sebab itulah ada antara mereka yang sudah lama menjadi artis, perlahan-lahan menceburi bidang perniagaan pula. Semua itu perlu andai terjadi sesuatu yang tidak diingini. Kata orang sediakan payung sebelum hujan. Apapun, saya percaya, rezeki ada di mana-mana,” katanya.

Amirul kini sibuk menjalani penggambaran drama Mencari Mel Dan Ayu untuk RTM.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");