LANGKAWI – Pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bakal mengikuti program latihan di Jepun menerusi kerjasama dua hal dengan agensi penguat kuasa maritim negara itu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ahmad Fuzi Ab Kahar berkata program latihan tersebut merupakan satu lagi bidang kerjasama baharu dua hala antara Malaysia dan Jepun sejak penubuhan APMM 12 tahun lepas.
Katanya, pada tahun ini, APMM akan menerima pemberian percuma dua buah kapal sepanjang 90 meter oleh Jepun serta sebuah simulator untuk latihan kru yang akan ditempatkan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di Gebeng, Pahang.
Sebelum ini, katanya, pihaknya telah menerima pemberian sebuah kapal sepanjang 40 meter, KM Marlin dari Jepun pada 2007 untuk digunakan sebagai kapal latihan.
Kerajaan Jepun juga memperuntukan sejumlah RM30 juta untuk menaiktaraf kapal-kapal tersebut serta membiayai program latihan anggota APMM di negara itu, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Ahmad Puzi berkata, penerimaan dua kapal dari Jepun ini akan mengukuhkan lagi kedudukan APMM yang sedang menunggu enam buah lagi kapal yang sedang dibina oleh syarikat tempatan dan dijangka siap tahun ini.
Katanya, kapal-kapal yang sedang dibina ini terdiri daripada tiga buah bot peronda generasi baharu (NGPC) dan tiga buah kapal peronda luar pantai (OPV) melibatkan kos RM1.3 billion.
“Kapal-kapal baharu akan terus dibina secara berperingkat bagi menggantikan kapal-kapal lama yang telah kami terima sebelum ini daripada agensi-agensi penguatkuasaan lain,” katanya.
Selain itu, beliau berkata APMM juga kini memiliki enam buah helikopter dan dua buah kapal terbang jenis Bombardier untuk kegunaan operasinya.
“Kesemua aset ini akan terus digunakan bagi meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan kami dalam menghadapi apa jua situasi yang memerlukan penglibatan APMM,” katanya.
– Bernama