Berita Hari Ini

Aspek Pendidikan Rakyat Terus Diutamakan – PM

KUCHING: Aspek pendidikan rakyat terus diberikan keutamaan pada tahap tertinggi tanpa mengabaikan kepentingan kaum atau etnik tertentu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, di bawah kepemimpinannya, peruntukan besar dikeluarkan bagi penyediaan infrastruktur pendidikan dan kemudahan berkaitan yang disifatkan sebagai pelaburan strategik.

“Kita perlu memiliki akses pendidikan yang sempurna dan berkualiti dalam membawa kemajuan kepada negara dan mengubah taraf kehidupan rakyat. Malah, negara kita memiliki sistem pendidikan terbaik di rantau ini.

“Atas kepentingan itu juga, saya sentiasa memberikan keutamaan terhadap aspek pendidikan setiap kali merangka belanjawan negara,” katanya, lapor Berita Harian

Beliau berkata demikian selepas merasmikan blok baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua No. 4 di Jalan Nanas, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg; Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Najib berkata, sebagai Menteri Kewangan juga, beliau tidak pernah mengabaikan aspek penyediaan dana bagi membantu aspek pendidikan masyarakat Cina di negara ini, khususnya di Sarawak.

Malah, katanya, hampir setiap belanjawan negara dirangka, RM50 juta diperuntukkan bagi tujuan itu.

“Itu tidak termasuk peruntukan tambahan yang disalurkan dari semasa ke semasa bagi memenuhi pelbagai permintaan dan permohonan ketika melawat ke sesuatu kawasan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihak pentadbiran sesebuah sekolah tidak boleh hanya bergantung kepada dana kerajaan semata-mata berikutan kekangan tertentu yang dihadapi.

Beliau kemudian mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina ke kediaman Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Kenyalang Park, di sini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");