Sukan Hari Ini

BAM perlu ambil iktibar kecederaan Chong Wei

SIKAP Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang lambat bertindak atas aduan Datuk Lee Chong Wei mengenai pelapik lantai gelanggang licin menjerat badan induk itu apabila mereka akan kehilangan prospek utama yang mampu merangkul Kejuaraan di Kejohanan All England, pada 7 hingga 12 Mac depan.

Bekas pemain kebangsaan, Roslin Hashim berkata, BAM perlu dipersalahkan kerana sikap sambil lewa itu bukan sahaja merugikan mereka tapi juga kepada negara.

“Chong Wei adalah pemain utama negara di All England nanti dan satu-satunya harapan untuk membawa pulang kejuaraan, tapi apa yang BAM sudah buat? Adakah mereka sedar yang tindakan itu merugikan semua pihak,” soalnya ketika dihubungi, semalam.

Malah jelasnya pihak pengurusan BAM tidak sepatutnya ambil mudah mengenai aduan dibuat kerana ia melibatkan keselamatan pemain.

“Setahu saya, sebelum Chong Wei terjatuh dan cedera, dia sudah maklumkan awal kepada BAM tapi BAM berdiam diri dan anggap aduan itu tak serius.

“Kalau aduan Chong Wei yang merupakan pemain utama negara pun tidak diendahkan, apatah lagi nasib pemain junior lain,” katanya memetik sumber Sinar harian.

Terdahulu, kecuaian BAM yang tidak mengendahkan aduan Chong Wei mengundang padah apabila menyebabkan pemain berusia 34 tahun itu mengalami kecederaan ligamen koyak di bahagian lutut kiri selepas tergelincir dan terjatuh ketika berlatih di gelanggang Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, Sabtu lalu.

Ketika ditanya adakah gelanggang latihan baharu di ABM yang dianggap setanding fasiliti bertaraf dunia hanya indah khabar dari rupa, Roslin ada jawapannya.

“Sebenarnya mereka lihat perkara ini dari mata kasar. Mereka ingat ada fasiliti terbaik dengan memiliki 18 gelanggang serta lengkap dengan semua insiden seperti ini (tergelincir) tidak akan terjadi.

“Apa pun, BAM kena dengar dan bertindak jika ada aduan diutarakan pemain kerana mereka lebih arif dan sentiasa menggunakan gelanggang hari-hari, bukan pegawai BAM,” tegas Roslin.

Berikutan itu, Roslin yang merupakan jurulatih di Akademi Badminton Roslin Hashim berharap BAM mengambil iktibar dengan insiden tersebut dan cuba melakukan yang terbaik untuk mempertingkat tahap keselamatan pemain semasa sesi latihan di gelanggang baharu itu.

“Saya harap BAM akan ambil pendekatan sewajarnya supaya insiden sama tidak berulang lagi. Jangan tunggu ia berlaku baru nak tukar, sebab nanti semuanya sudah terlambat seperti mana terjadi pada Chong Wei yang akhirnya merugikan negara,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");