IPOH : Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah boleh dijadikan sebagai satu program di peringkat antarabangsa.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ini kerana, program muzakarah yang dianjurkan bukan sekadar melibatkan mereka yang pakar dalam bidang agama, tetapi juga melibatkan mereka yang pakar dalam pelbagai bidang.
“Oleh kerana kita mempunyai konsep pengantarabangsaan negeri Perak dan melalui pemerhatian saya, saya melihat muzakarah seperti ini semakin berkembang.
“Kita boleh menjadikan Perak sebagai contoh kepada dunia luar seperti negara-negara di rantau Asean seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand dan negara Asean lain untuk datang mengadakan muzakarah.
“Paling penting, ianya boleh mewujudkan kehidupan yang harmoni menerusi sesi perbahasan yang dilakukan. Akhirnya, resolusi-resolusi yang dibentangkan adalah lebih kepada bagaimana nak memantapkan lagi institusi-institusi Islam dan ianya akan membawa kepada kehidupan yang lebih harmoni,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pembentangan Resolusi dan Rumusan Muzakarah serta majlis perasmian penutup Muzakarah Sultan Nazrin Shah di Casuarina@Meru, hari ini.
Sebagai contoh, Zambry berkata, muzakarah yang diadakan pada tahun ini memberikan gambaran dan mengupas idea sebenar tentang hubungan antara Melayu dan Islam.
“Konsep Melayu bukanlah sesuatu yang rasis. Paling utama ialah kita ingin melihat bagaimana kehidupan dalam negara kita khususnya di Perak, kita hidup dalam keadaan aman.
“Ianya bagi mengelakkan sebarang kekacauan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat baik di kalangan masyarakat Islam dan Islam dengan yang bukan Islam,”kata Zambry.