Jenayah

Bayi Diserang Kera

GOMBAK: Seekor beruk liar telah bertindak menyerang seorang bayi lelaki berusia tiga bulan hingga mengakibatkan bayi tersebut menerima 10 jahitan pada mukanya.

Memetik sumber Sinar harian, kejadian itu berlaku di rumahnya di Desa Temenggong, baru-baru ini.

Ibunya, Rasifah Suhaimi, 29, berkata, kejadian berlaku kurang dari lima minit sewaktu dia meninggalkan anaknya, Ahmad Ziyad Amsyar Ahmad Zairi, itu di dalam bilik untuk ke dapur membuat susu.

Menurutnya, dia hanya menyedari kejadian selepas mendengar anaknya menangis dengan kesan darah pada bahagian muka dan tilam.

“Saya memang terkejut bila dengar anak meraung dan bila jenguk ke dalam bilik, nampak kera yang masa itu dah lari ikut tingkap.

“Saya terus bawa ke Hospital Selayang untuk jahit kesan cakaran di dahinya dan anak ditahan di wad selama sehari,” katanya.

Dia yang tidak sampai setahun tinggal di kawasan berkenaan berkata, dia tidak pernah nampak kelibat kera tersebut di kawasan perumahan.

“Lepas kejadian baru tahu yang kera itu mula ganggu penduduk dua bulan kebelakangan ini.

“Selain masuk rumah, ada juga seorang bayi lagi turut dicederakan seminggu sebelum kes anak saya.

“Lepas kejadian memang tak berani nak buka tingkap dan tinggalkan bayi sendirian. Ibu bapa saya pun datang jaga Ziyad buat sementara waktu sebab anak saya tu macam masih trauma dan menangis kalau ditinggalkan sendiri,” katanya.

Rafisah berkata, meskipun Jabatan Perhilitan telah datang selepas menerima aduan namun kera di kawasan itu belum ditangkap.

“Memang risau kalau kera datang serang lagi. Kami cadang nak pindah ke rumah lain memandangkan tempat tinggal sekarang pun rumah sewa tapi belum jumpa lokasi sesuai,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Perhilitan Hulu Selangor, Mohd Noor Itam berkata, pihaknya telah turun ke lokasi sebanyak tiga kali bagi mengesan kera berkenaan namun usaha itu masih belum berjaya.

“Kami dah tangkap 10 kera di kawasan hutan berhampiran tapi jaraknya satu kilometer dari kawasan perumahan. Itu sebagai salah satu langkah mengurangkan gangguan.

“Pemantauan berkala akan dilakukan. Penduduk disaran terus menghubungi kami di talian 03-60645030 jika ternampak kera berkenaan bagi memudahkan pihak Perhilitan menangkapnya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");