Sukan Hari Ini

Beri peluang pemain Melaka cari rentak – Yusoff

MELAKA: Skuad Melaka United mengharapkan penyerang importnya, Sergio Aguero segera pulih daripada kecederaan untuk membantu pasukan itu menjadi antara pencabar kejuaraan utama dalam bola sepak Liga Super musim ini.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pemain import dari Argentina itu masih belum dapat kembali beraksi kerana kecederaan hamstringnya.

Beliau mengakui persembahan pasukan itu belum mencapai tahap yang diharapkan kerana pemain belum dapat menemui retak sebagai satu pasukan selain keadaan yang dialami Aguero.

“Keadaan ini mungkin menyebabkan sedikit kepincangan bagi jurulatih untuk mengatur strategi namun saya percaya perlawanan menentang T-Team malam esok bakal menjawab segala keraguan penyokong tentang prestasi pasukan sebelum ini.

“Saya percaya akan ada peningkatan kerana dua perlawanan sebelum ini pun kita mampu bersaing dengan baik sehingga ke minit terakhir,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan Melaka United di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini.

Melaka United seri 1-1 dengan Selangor dan tewas 2-3 kepada Perak dalam dua perlawanan awal Liga Super, dan akan menentang T-Team di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Ketua jurulatih Melaka United, Eric Williams berkata semua anak buahnya telah bersedia dan menunjukkan peningkatan daripada pelbagai aspek termasuk persefahaman, fizikal dan mental bagi menghadapi T-Team.

Pada masa sama, beliau meminta penyokong pasukan itu agar bersabar dan menunjukkan semangat positif kepada pasukan berkenaan kerana persaingan dalam Liga Super semakin mencabar berbanding Liga Perdana sebelum ini.

“Saya percaya kami akan menunjukkan peningkatan yang lebih baik dari semasa ke semasa tetapi ia mengambil sedikit masa. Harap penyokong bersabar dan teruskan menyokong,” kata warga Australia itu yang fasih berbahasa Malaysia.

Sementara itu, Mohd Yusoff yang juga Pengerusi Perbadanan Stadium Melaka berkata kerja menaik taraf padang di Stadium Hang Jebat yang menelan kos RM500,000 telah selesai dilaksanakan dan bakal diuji dalam perlawanan menentang T-Team esok.

Beliau berkata kerja naik taraf itu mengambil masa tiga bulan dan telah diperiksa Jawatankuasa Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia serta disahkan boleh digunakan secara rasmi.

“Pemain telah mencuba padang ini tadi dan mereka berpuas hati terhadap permukaan padang. Sebelum ini padang tidak rata dan sukar menjangka arah lantunan bola sehingga mengganggu permainan,” katanya.

Menurut Mohd Yusoff, selain Melaka United, gelanggang itu turut digunakan pasukan Polis Diraja Malaysia dalam Liga Perdana sepanjang musim ini.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");